suria

Penunjuk Ekonomi Positif Tingkat Keyakinan Masyarakat Luar - Najib

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata momentum positif dalam ekonomi negara mutakhir ini, telah meningkatkan keyakinan rakyat tempatan dan masyarakat antarabangsa terhadap hala tuju kerajaan.

Perdana Menteri berkata beberapa penunjuk ekonomi, antaranya pencapaian tertinggi Bursa Malaysia baru-baru ini, kedudukan nilai mata wang negara yang semakin kukuh serta kemampuan daripada segi indeks persaingan, menggambarkan keyakinan semua pihak terhadap segala perancangan kerajaan.

Beliau berkata penunjuk-penunjuk ekonomi yang positif itu juga akan membolehkan Malaysia mencapai kadar pertumbuhan sekurang-sekurangnya tujuh peratus tahun ini.

"Alhamdulillah, memang perkembangan mutakhir ini menampakkan bahawa kita telah berjaya untuk mencetuskan apa yang saya sifatkan sebagai momentum positif dalam ekonomi untuk negara," katanya.

Beliau berkata demikian semasa mengadakan sidang video dengan masyarakat dan penuntut Malaysia di enam buah negara sempena Hari Raya Aidiladha di kediaman rasmi Perdana Menteri di Seri Perdana di sini hari ini.

Turut hadir isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Najib berkata apa yang dipaparkan melalui penunjuk ekonomi itu sebenarnya tidak mungkin menjadi kenyataan jika tidak bersandarkan kepada keyakinan terhadap kerajaan.

"Ini salah satu daripada faktor yang sangat penting dan keyakinan ini tidak berlaku dengan sendiri sebab pasaran ini begitu kritikal.

"Maknanya, kalau mereka tidak percaya kepada perancangan, dasar, hala tuju dan agenda yang hendak dibawa oleh kerajaan, tidak mungkin mereka berasa yakin terhadap negara kita," katanya.

Sementara itu, ketika sidang video bersama masyarakat dan penuntut Malaysia di Jepun, China, Russia, Ukraine, Perancis dan Ireland, Najib berharap para pelajar bukan sahaja dapat menimba pengetahuan daripada segi akademik malah dapat membentuk sahsiah diri dan kemahiran lain.

"Keupayaan kita untuk bersaing semakin hari akan bersandarkan kepada kualiti modal insan. Tidak ada sumber lain yang lebih penting untuk kita terus berdaya saing selain pembangunan modal insan," katanya.

Beliau berkata modal insan mesti bersandarkan kepada kemahiran, etika kerja dan kemahiran insaniah, termasuk penguasaan bahasa dan kemampuan untuk berkomunikasi.

"Ini semua seharusnya merupakan perkara yang perlu diberikan perhatian (oleh pelajar) di luar negara kerana berinteraksi dengan masyarakat antarabangsa dan global, seharusnya dapat melengkapkan saudara, saudari dengan segala kemampuan yang amat berguna di hari depan," katanya.

Dalam pada itu, Najib menganggap pelajar Malaysia yang menuntut di luar negara sebagai kelompok masyarakat yang sangat istimewa kerana dengan peluang yang sangat baik untuk menimba ilmu, mereka dapat memberi sumbangan yang besar kepada kesejahteraan negara.

Sementara itu, Rosmah menasihatkan pelajar Malaysia di luar negara supaya pulang ke tanah air apabila tamat pengajian supaya mereka dapat memberi khidmat kepada rakyat dan negara ini.

"Jangan lupa pulang (ke Malaysia), kerajaan tunggu. Bawa ijazah yang terbaik," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain