suria

Pelayan Restoran Edar Dadah Dihukum Mati

KUALA LUMPUR: Seorang pelayan restoran dari Thailand yang menelan kapsul-kapsul berisi dadah dijatuhkan hukuman mati selepas Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis, mendapati dia bersalah atas pertuduhan mengedar dadah.

Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah membuat keputusan itu terhadap Phrueksa Taemchim, 26, selepas berpuas hati bahawa pembelaannya gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap pertuduhan yang dihadapi.

Beliau membuat keputusan itu selepas mendengar keterangan yang dikemukakan oleh 16 saksi pendakwaan manakala tertuduh yang diwakili peguam K.Viknes tidak memanggil saksi lain bagi menyokong keterangannya.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib.

Tertuduh yang bekelulusan diploma itu didakwa mengedar 713.8 gram kokain pada pukul 8.30 pagi, 3 Julai 2009 di Hentian Puduraya, di sini.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama.

Semasa tertuduh dihantar ke Hospital Kuala Lupur (HKL) untuk memeriksaan, didapati terdapat benda-benda asing di dalam perut tertuduh.

Justeru itu, dia ditahan di wad hospital tersebut dan kapsul-kapsul itu dikeluarkan apabila tertuduh membuang air besar.

Selepas lima hari ditahan iaitu sehingga 8 Julai 2009, tertuduh telah mengeluarkan 98 kapsul.

Artikel Lain