suria

Kastam Rampas Rokok Seludup Bernilai RM4.8 Juta Di Kilang Bata

PETALING JAYA: Jabatan Kastam berjaya mematahkan kegiatan satu sindiket menyimpan dan mengedar rokok putih seludup yang berselindung di sebalik aktiviti kilang membuat batu bata di Jalan Rasa, Bukit Beruntung, Kuala Kubu Baharu, Selangor.

Pengarah Kastam Kuala Lumpur Datuk Saadon Mohd Dros berkata dalam serbuan pukul 2 petang Isnin lepas, sebanyak 29.081 juta batang rokok putih dan kretek bernilai lebih RM4.8 juta dirampas melibatkan cukai tidak berbayar hampir RM14.4 juta, rampasan terbesar tahun ini.

"Bertindak atas maklumat orang awam dan hasil risikan, kami menyerbu kilang tersebut dan menemui 144,680 karton rokok putih serta kretek seludup yang telah dibungkus di dalam 2,759 kotak dan disorok di sebalik batu-bata di kilang tersebut serta di dalam sebuah lori," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini Khamis.

Menurutnya bagaimanapun tiada tangkapan dibuat kerana mereka yang terlibat melarikan diri lebih awal.

Beliau berkata hasil pemeriksaan mendapati sindiket itu memasang kamera litar tertutup (CCTV) kira-kira 3km di jalan utama menghala ke kilang sebagai langkah berwaspada bagi mengesan pihak berkuasa.

Saadon berkata rokok tersebut dipercayai diseludup dari luar negara untuk diedarkan kepada pemborong di sekitar Lembah Klang dan juga negeri-negeri lain.

"Hasil siasatan mendapati sindiket menggunakan kilang ini sebagai stor dan tempat pengedaran bagi mengelak dari dikesan orang awam dan penguatkuasa."

Menurutnya kastam sedang mengesan pemilik tanah, kilang batu bata dan lori itu bagi membantu siasatan.

Saadon berkata antara jenama rokok putih yang dirampas termasuklah Zon King International dan Premier International serta rokok kretek jenama Djarum Super, Djarum Black dan L.A Light.

Katanya, kastam turut merampas lori Hino tersebut yang telah sedia dimuatkan dengan 11,680 karton rokok kretek jenama L.A Lights yang diletakkan di dalam kawasan kilang tersebut. - BERNAMA

Artikel Lain