suria

Carrefour Batal Hasrat Jual Gedung-Gedungnya di Malaysia & S'pura

KUALA LUMPUR: Gergasi peruncitan Perancis, Carrefour mengumumkan, ia telah membatalkan hasrat untuk menjual gedung-gedungnya di Malaysia dan Singapura.

"Sebaliknya kami telah memutuskan untuk mengembangkan penguasaan pasaran di negara-negara Asia, demikian menurut Ketua Pegawai Eksekutif Carrefour, Lars Olofsson dalam satu temuramah dengan Wall Street Journal.

Carrefour merupakan rangkaian gedung peruncitan kedua terbesar di dunia selepas Wal-Mart yang menguasai pasaran Amerika.

Sebelum ini, Carrefour dilaporkan mahu melupuskan operasinya di 42 gedung di Thailand dan sedang menimbang untuk turut menjual kesemua 23 gedungnya di Malaysia dan dua di Singapura.

Bagaimanapun, syarikat itu memutuskan bahawa ia akan terus kekal aktif di Malaysia dan Singapura selepas beberapa percubaan untuk menjual gedung-gedung di Malaysia tidak menerima pembidaan yang mampu menjustifikasikan rancangan untuk melupuskan operasi di kedua-dua negara berkenaan.

“Kita mempunyai prospek pertumbuhan yang memberansangkan di Malaysia dan kita merasakan kita dapat memberikan nilai tambah kepada gedung-gedung ini sekiranya kita menguruskannya sendiri,” kata Olofsson.

Bagaimanapun syarikat gergasi dari Perancis itu mengumumkan Isnin lalu bahawa mereka telah memutuskan untuk menjual operasi mereka di Thailand kepada Big C, iaitu sebuah firma dari Perancis yang mempunyai kaitan dengan perniagaan kasino pada harga Euro 868 juta( AS$1.19 bilion).

Pada Julai lalu, Carrefour merancang untuk menjual perniagaannya di kesemua tiga negara Asia Tenggara dalam usahanya untuk menumpukan perhatian kepada pasaran India yang sedang mengembang sekarang.

Namun begitu, syarikat tersebut menafikan laporan tersebut pada bulan Ogos.

Menurut Carrefour, Asia menyumbang 7.6% daripada jualan total keseluruhannya yang berjumlah Euro 85.96 bilion pada tahun 2009, berbanding 13.7% untuk America Latin dan 35.7% untuk Eropah (tidak termasuk Perancis). - AFP

Artikel Lain