suria

AirAsia Tawar Penerbangan Ke Paris RM499 Sehala

KUALA LUMPUR: AirAsia secara rasminya memperkenalkan penerbangan ke Paris, iaitu destinasi Eropah keduanya selepas London melalui syarikat gabungan penerbangan tambang murah jarak jauhnya, AirAsia X.

Penumpang awal berhak menikmati tambang istimewa RM499 sehala apabila mereka membuat tempahan melalui Internet dari 22 November hingga 24 November ini. Tempoh perjalanan bagi tambang istimewa itu pula ialah dari 14 Februari hingga 10 November 2011.

"Laluan Paris-Kuala Lumpur AirAsia X merupakan pencapaian cita-cita yang sekian lama diimpikan iaitu untuk membuka satu lagi laluan termampu di antara Malaysia dengan Eropah bagi komuniti ASEAN dan juga Eropah," kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tony Fernandes, dalam satu kenyataan, Khamis. Penerbangan terus empat kali seminggu itu akan bermula pada 14 Februari, 2011, di antara Lapangan Terbang Antarabangsa Paris-Orly dengan Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Perkhidmatan di laluan baru itu akan dikendalikan melalui pesawat Airbus A340 dengan kapasiti 327 penumpang, termasuk 18 tempat duduk premium.

BERNAMA

Artikel Lain