suria

Peguam Dikelar Sampai Mati

IPOH: Peguam terkenal G. Balasundram terbunuh selepas dua lelaki bertopeng bertindak berani menyerangnya di luar rumah mangsa di Desha Rishah di sini, Selasa.

Dalam kejadian 5 petang itu, kedua-dua suspek menyerang Balasundram, 57, sebaik sahaja mangsa tiba di kediamannya.

Serangan itu meninggalkan Balasundram dengan 17 kesan tetakan pada abdomen dan beberapa kecederaan lain di bahagian paha.

Dipercayai suspek mengekori Balasundram dari pejabatnya sebelum melakukan serangan di kediaman mangsa.

Mangsa kemudiannya dikejarkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk rawatan oleh seorang jiran yang melihat kejadian itu.

Mangsa bagaimanapun gagal diselamatkan dan meninggal dunia lewat malam berkenaan.

Polis menolak klasifikasi kes itu sebagai rompakan kerana barangan milik Balasundram tidak diambil oleh suspek.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Datuk Mohd Dzuraidi Ibrahim berkata, suspek dipercayai menyerang mangsa menggunakan pisau Rambo.

"Mangsa meninggal dunia 9.30 malam selepas dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan," katanya, sambil menambah polis masih menyiasat motif serangan itu.

Balasundram meninggalkan balu, G. Puspalatha, 46 dan anak lelaki, Somaskanthar, 5 tahun.

Artikel Sebelum

Zaid Kembali Adakan Sidang Media

Artikel Berikut

Artikel Lain