suria

Tiga Maut Dalam Kemalangan Jalan Raya Di Lahad Datu

LAHAD DATU: Tiga orang termasuk seorang kanak-kanak berumur dua tahun maut pada Selasa bila kereta yang mereka naiki berlanggar dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 39, Jalan Lahad Datu-Tungku.

Mereka yang terbunuh dikenali sebagai Dinowana Sangkula, 65; Amir Bolo, 37; dan kanak-kanak berkenaan Siti Hana Amran.

Dinowana dan Siti Hana meninggal di tempat kejadian manakala Amir meninggal di Hospital Lahad Datu.

Ketiga-tiga mangsa yang terbunuh dan tiga lagi yang cedera parah dalam kejadian jam 12 tengah hari itu menaiki kereta Proton Saga manakala enam orang yang berada dalam kenderaan pacuan empat roda termasuk pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu Supt Shamsudin Mat berkata identiti mangsa yang cedera parah dan sedang dirawat di Hopsital Lahad Datu belum dikenal pasti.

Menurut Shamsudin, sebelum kejadian kesemua mangsa yang terbunuh dan cedera parah itu dikatakan dalam perjalanan dari arah Lahad Datu ke Tungku.

Apabila sampai di satu selekoh di Kilometer 39, pemandu kenderaan pacuan empat roda yang datang dari depan dikatakan gagal mengawal kenderaannya hingga memasuki laluan bertentangan dalam keadaan melintang sebelum dirempuh oleh Proton Saga berkenaan. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain