suria

Polis Sedang Mengesan Wanita Indonesia Bantu Siasat Kes Bunuh

SHAH ALAM: Polis sedang mengesan seorang wanita warga Indonesia bagi membantu siasatan kes bunuh seorang lelaki dipercayai temannya, warga tempatan di Kampung Padang Jawa di sini Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Noor Azam Jamaluddin berkata wanita itu Zulfa Ismail atau dikenali sebagai Puteri berusia 20 tahun bekerja sebagai tukang cuci di sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) di sini dan masuk ke negara ini secara sah.

Beliau berkata wanita itu yang sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak merupakan saksi penting bagi membantu mengesan suspek yang membunuh Rashidi Mohd Saman, 27, seorang kerani di IPT yang sama.

"Kita percaya mereka merupakan pasangan kekasih dan kejadian ini bermotifkan dendam kerana suspek yang dipercayai ada kaitan dengan wanita itu memang telah merancang untuk membunuh mangsa pada malam kejadian," katanya dalam sidang media di sini, Selasa.

Mengulas lanjut, Noor Azam berkata dalam kejadian Ahad lepas, mangsa dalam perjalanan pulang dari menghantar wanita terbabit di kawasan perumahan setinggan di Kampung Padang Jawa dengan menaiki motosikal.

Beliau berkata ketika dalam perjalanan mangsa telah dihampiri dua lelaki dipercayai warga Indonesia yang menaiki motosikal jenis Yamaha RXZ dan bertindak menyerang mangsa dengan celoret sehingga menyebabkan perut mangsa terburai dan lengan hampir putus.

Katanya, suspek kemudian bertindak memecut motosikal dan melarikan diri sebaik menyedari mangsa terbabas serta terjatuh akibat serangan itu.

"Kita dimaklumkan oleh orang awam yang melihat keadaan lelaki itu sebelum membawa mangsa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di Klang.

"Bagaimanapun, kira-kira pukul 5.30 pagi tadi mangsa yang berasal dari Seksyen 20 di sini disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah," katanya.

Noor Azam berkata pemeriksaan di rumah wanita terbabit pada hari yang sama juga mendapati ia telah dikosongkan dan dia juga tidak hadir bertugas di IPT berkenaan sejak kejadian itu.

Sehubungan itu, beliau meminta saksi yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya tampil membantu siasatan atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam di talian 03-55102222.

Katanya, pihak polis juga telah meminta kerjasama dari semua agensi terbabit bagi mengesan wanita itu termasuk pihak kedutaan Indonesia.

Dalam kes berasingan, beliau berkata seorang pemandu bas ekspres yang berasal dari Taman Universiti Skudai, Johor menjadikan waktu rehat sebentar di sini (sebelum meneruskan perjalanan) untuk melakukan jenayah.

Kegiatan lelaki berusia 40 tahun itu terbongkar apabila dia ditahan sepasukan anggota polis peronda ketika sedang mengumpil sebuah rumah kedai di Jalan Plumbum Seksyen 7 di sini, kira-kira pukul 8 pagi tadi.

Noor Azam berkata siasatan lanjut mendapati lelaki itu mempunyai tujuh rekod jenayah lampau membabitkan kesalahan sama termasuk menggunakan asid semasa melakukan jenayah iaitu mencairkan mangga pintu.

Beliau berkata turut dirampas pada lelaki itu ialah sebuah pemutar skru tiga inci. Kes itu disiasat mengikut Seksyen 477 dan Seksyen 511 Kanun Keseksaan. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain