suria

Pemandu Lori Dipenjara 9 Tahun, 10 Sebat

SHAH ALAM: Seorang pemandu lori diarahkan menjalani hukuman penjara selama sembilan tahun dan 10 sebatan selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan memiliki ganja pada Isnin.

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi di sini, Siti Khadijah S Hassan Badjenid memerintahkan supaya C. S Gunalan, 28, menjalani hukuman itu daripada tarikh dia ditangkap, 22 Disember 2008.

Dia didakwa memiliki 755 gram ganja pada pukul 8 malam, pada tarikh tersebut di Jalan 2, Desa Jaya, Kepong, dalam Daerah Gombak, dekat sini.

Dadah tersebut yang dijumpai dalam beg plastik kuning bertulis ‘Rorine Paris’ yang dijinjing tertuduh, yang sebelum itu bergelut dengan anggota polis.

Pertuduhan pilihan itu ditawarkan mengikut Seksyen 6, AKta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39A(2) akta yang sama.

Sebelum ini, dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) akta sama iaitu bagi kesalahan mengedar yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Peguam Naran Singh yang mewakili tertuduh merayu mahkamah memberikan peluang kedua untuk tertuduh yang telah insaf.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Zainal Azwar Kamaruddin memohon supaya mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan orang ramai.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain