suria

Pekerja Ladang Maut Ditikam

IPOH: Seorang lelaki terbunuh selepas ditikam oleh rakannya dalam satu pergaduhan dipercayai berpunca daripada pengagihan daging babi hutan yang diburu berhampiran hutan di Hutan Melintang, 120 kilometer dari sini, Ahad.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, mangsa yang terbunuh dalam kejadian pada pukul 9 malam tadi itu, K.Perumal 27, seorang pekerja ladang di Sungai Samak, Hutan Melintang.

Mangsa yang mengalami cedera parah akibat tikaman di leher itu meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Teluk Intan, katanya ketika dihubungi hari ini.

Goh berkata, semasa kejadian mangsa bersama isteri dan dua anaknya sedang berehat apabila didatangi dua lelaki adik beradik yang juga jiran mereka yang tinggal berhampiran.

Mangsa bersama kedua-dua adik beradik itu kemudian berbincang mengenai pengagihan daging babi yang baru mereka tangkap dan akibat tidak puas hati, maka tercetus pergaduhan menyebabkan seorang daripada lelaki itu mengeluarkan sebilah pisau lipat dan menikam bahagian leher mangsa, katanya.

"Sebaik menikam mangsa, kedua-dua lelaki itu terus melarikan diri dengan sebuah motosikal manakala mangsa yang mengalami kecederaan telah dibantu isterinya dan penduduk ladang berkenaan untuk dihantar ke sebuah klinik berhampiran sebelum dirujuk ke Hospital Teluk Intan", katanya.

Bagaimanapun mangsa yang mengalami cedera parah akibat kehilangan banyak darah dilaporkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Teluk Intan, katanya.

Beliau berkata, polis yang dihubungi mengenai kejadian itu telah bergegas ke tempat kejadian dan menemui sebilah pisau lipat yang masih berdarah dipercayai digunakan oleh lelaki tersebut.

Polis yang menjalankan siasatan telah menahan seorang lelaki berusia 21 tahun berapa jam selepas kejadian manakala seorang lagi suspek berusia 24 tahun telah ditahan tengah hari tadi, katanya.

Kedua-dua lelaki yang merupakan adik beradik itu ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini.

Kes tersebut disiasat dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa mukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahannya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain