suria

Muhyiddin Nasihat Mangsa Banjir Segera Berpindah Ke Pusat Pemindahan

MUAR: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta penduduk yang berkemungkinan terjejas akibat gelombang kedua banjir supaya segera berpindah ke pusat pemindahan banjir yang ditetapkan dan tidak melengah-lengahkan usaha itu.

Beliau berkata terdapat di antara mangsa yang melengah-lengahkan usaha perpindahan ketika bencana banjir yang berlaku baru-baru ini terperangkap dalam arus deras atau rumah yang dinaiki air dengan cepat.

"Kita harap penduduk terjejas menerima arahan yang diberi dengan segera dan jangan lengah-lengahkan lagi untuk berpindah ke penempatan disediakan. Sesetengah kawasan air banjir naik dengan cepat dan mereka perlu bertindak segera mengikut arahan bagi mengelak dibawa arus deras.

"Kita berharap jika berlaku banjir gelombang kedua ini, tiada lagi kejadian di mana penduduk terpaksa memanjat pokok bagi menyelamatkan diri terjadi kali ini," katanya di sini.

Muhyiddin berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan 43 ekor lembu sempena Hari Raya Aidiladha yang akan disambut esok di Kompleks Pekembar, Pagoh pada Selasa.

Akhbar Selasa melaporkan Jabatan Meteorologi telah mengeluarkan amaran banjir besar di beberapa negeri Pantai Timur termasuk Timur Johor serta Sabah dan Sarawak berikutan peningkatan taburan hujan yang diramal melebihi 40 peratus berbanding paras biasa.

Muhyiddin berkata semua pihak termasuk agensi kerajaan dan penyelamat sudah bersedia menghadapi kemungkinan gelombang kedua banjir besar, selepas gelombang pertama banjir yang melanda Kedah dan Perlis baru-baru ini.

Katanya persiapan lebih terperinci telah pun dibuat untuk menghadapi gelombang kedua banjir besar termasuk menyediakan stok bekalan makanan selain peralatan menyelamat seperti bot dan peralatan logistik yang lain.

"Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta semua agensi kerajaan dan penyelamat juga sudah mempunyai skop arahan terperinci termasuk untuk selamatkan mangsa banjir," kata Timbalan Perdana Menteri.

Sementara itu, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata Kementerian Pelajaran telah mengeluarkan pekeliling kepada semua Jabatan Pelajaran Negeri bagi memastikan mereka mempersiapkan diri untuk menghadapi banjir gelombang kedua.

Pihak Pejabat Pelajaran Daerah, katanya perlu bersedia untuk memindahkan pelajar yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) jika sekolah mereka terjejas akibat banjir.

"Pekeliling sudah dikeluarkan supaya pengetua membuat persiapan awal termasuk jika pelajar perlu dipindahkan supaya tumpuan pelajar dalam menghadapi peperiksaan tidak terganggu serta terjejas," katanya.

Bersempena dengan sambutan Hari Raya Aidiladha esok, Muhyiddin menyeru umat Islam supaya mengambil iktibar terhadap pergorbanan yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim a.s dan Nabi Ismail a.s.

"Kita perlu menyerap pengorbanan yang ditunjukkan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail dengan berkorban terutama dalam membangkitkan kesedaran bagi memelihara kesahjahteraan negara," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain