suria

Mayat Dalam Almari: Mangsa Mungkin Masih Hidup

SHAH ALAM: Eksekutif swasta, Fazlina Ahmad berkemungkinan masih hidup semasa mulut dan hidungnya ditekup dengan menggunakan pita pelekat sebelum mayatnya diletakkan di dalam almari pakaian.

Perkara itu dimaklumkan oleh Pakar Perubatan Forensik Hospital Kuala Lumpur, Dr Khairul Anuar Zainun di Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin, pada perbicaraan terhadap suami Fazlina, Mohafri Mohamed yang dibicarakan atas pertuduhan membunuh.

“Saya berpendapat kematian tidak berlaku dengan serta-merta. Kesan tekup dan cedera yang dijumpai menyatakan bahawa terdapat sedikit masa mangsa masih hidup semasa kejadian ditekup berlaku.

“Mangsa mungkin mati antara jangka masa setengah hingga satu minit selepas ditekup,” katanya pada pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Rosidah Abu Bakar.

Khairul Anuar, 36, selaku saksi pendakwaan kedua berkata, hasil bedah siasat yang dilakukan sehari selepas kejadian, iaitu 31 Disember lalu mendapati, mangsa mati akibat kelemasan.

Ia secara kasar ditafsirkan sebagai kegagalan badan untuk menerima atau menggunakan oksigen yang mana dalam kes tersebut, berlaku halangan mekanikal di bahagian luaran pernafasan (hidung dan mulut).

Memandangkan terdapat dakwaan Fazlina seorang pesakit asma kronik, Rosidah meminta saksi untuk menjelaskan perbezaan di antara kematian yang disebabkan oleh asma dan lemas seperti yang dialami mangsa.

Beliau berkata, jika disebabkan asma, bedah siasat akan menjumpai ciri-ciri tertentu seperti tiada pendarahan di anak mata dan paru-paru dalam keadaan mengembang sehingga memenuhi seluruh rongga dada serta gumpalan cecair di dalam saluran pernafasan.

“Saya membuat kesimpulan kematian ini (mangsa) bukan disebabkan asma kerana saya tidak menjumpai ciri-ciri asma dan pada masa yang sama, terdapat kecederaan di mulut dan bibir serta pendarahan di mata,” katanya.

Kecederaan lain pada mangsa ialah lebam melecet di bibir, melecet di tengkuk, lebam di bahagian tangan kanan dan cedera di bahagian kaki.

Perbicaraan hari ini dimulakan dengan keterangan pegawai undang-undang, Safiyaton Omar, 39, yang merupakan kawan mangsa dan individu yang membuat laporan polis selepas berasa tidak sedap hati kerana gagal menghubungi mangsa.

Selain itu, saksi pendakwaan pertama itu juga risau ekoran perbualannya dengan pembantu rumah mangsa yang dikenali sebagai ‘Yayok’ menerusi telefon dan Khidmat Pesanan Ringkas (SMS).

“Saya rasa ada yang tidak kena. Contohnya, suami Fazlina beritahu Yayok, tidak boleh masuk ke bilik utama, jangan sapu dan lap lantai dan almari hendak runtuh.

"Bila tertuduh hantar anak-anak, Yayok ada masuk ke dalam bilik dan kata barang-barang dah dikeluarkan dari almari,” katanya.

Tertuduh juga dikatakan telah berpesan kepada Yayok untuk tidak mencampuri urusan yang berlaku antara dia dan mangsa.

Safiyaton dalam keterangan lain menafikan cadangan peguam tertuduh, Hisyam Teh Poh Teik bahawa dia mempunyai hubungan intim dengan mangsa dan ada menghantar SMS yang menunjukkan hubungan tersebut.

Saksi yang mengetahui mangsa merupakan seorang perokok tegar juga menafikan bahawa telah menghubungi mangsa pada pukul 5 pagi, hari kejadian.

Mohafri, 37, didakwa atas tuduhan membunuh Fazlina, 38, antara pukul 5 dan 10.30 pagi, 30 Disember 2009 di rumah mereka di nombor 70, Jalan Pinggiran 2, Taman Pinggiran Ukay, Ampang, dekat sini.

Dia yang didakwa kali pertama pada 19 Januari lalu dibicarakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki bersambung 29 November ini.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain