suria

Keputusan Kebenaran Fail Rayuan Bekas Isteri Roslin Hashim 29 Disember

KUALA LUMPUR: Permohonan bekas isteri pertama pemain badminton negara, Roslin Hashim dalam usaha mendapatkan kebenaran bagi memfailkan rayuan melebihi tempoh masa terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Syariah yang menolak bantahan awalnya akan diputuskan pada 29 Disember depan.

Tarikh tersebut ditetapkan oleh Mahkamah Rayuan Syariah di sini pada Selasa, yang mendengar hujahan lisan permohonan oleh Faizah Mohamad, 33, selepas bantahan awal terhadap kes tuntutan ganti rugi bernilai RM53,460 ditolak.

Permohonan itu didengar oleh panel tiga hakim syarie yang diketuai Ketua Hakim Syarie, Tan Sri Ibrahim Lembut yang bersidang bersama Hakim Syarie, Datuk Mohd Yusuf Che Teh dan Hakim Syarie, Datuk Hussin Harun.

Faizah selaku pemohon diwakili oleh peguam syarie Mohd Amir Nazli Hussin menghujahkan, pihaknya memohon diberikan kebenaran memfailkan rayuan ekoran keputusan Mahkamah Rayuan pada 19 April lalu menolak semakan kehakiman terhadap keputusan permohonan bantahan awal itu.

“Semakan ditolak kerana mahkamah semasa itu berpendapat forum yang sebenarnya adalah rayuan. Oleh itu, pemohon mohon diberi peluang untuk memfailkan rayuan,” katanya.

Selain itu, Mohd Amir Nazli menyatakan permohonan untuk mendapatkan kebenaran difailkan kerana mengikut tatacara yang ditetapkan oleh undang-undang.

Bagaimanapun, Roslin, 35, menerusi peguam syarie Roslizam Rahim membantah permohonan itu kerana berpendapat isu tersebut yang melibatkan merit bukanlah perlu diputuskan pada peringkat ini.

“Proses rayuan hanya perlu dilakukan selepas kes induk, iaitu tuntutan ganti rugi selesai dibicarakan. Dalam kes ini, kes induk belum diputuskan.

“Mohon mahkamah menolak permohonan itu kerana kesilapan pemohon memfailkan semakan dilakukan secara cuai dan responden (Roslin) tidak patut dipertanggungjawabkan atas kesilapan itu,” katanya.

Roslizam menambah, hak pemohon juga tidak akan diprejudiskan jika tidak diberi kebenaran untuk merayu kerana rayuan masih boleh dilakukan selepas tamat kes induk.

Ibrahim selepas mendengar hujahan tersebut menyatakan, pihaknya memerlukan masa untuk meneliti hujahan tersebut bagi membolehkan keputusan yang baik dicapai.

Rayuan itu difailkan selepas Hakim Syarie, Mohd Radzi Abdul Latif pada 25 Januari lalu menolak bantahan awal tersebut dan mengarahkan supaya kes dibicarakan.

Bantahan awal itu difailkan ekoran tindakan Roslin memfailkan tuntutan ganti rugi bernilai RM53,460 pada Oktober lalu, iaitu selepas mereka sah bercerai.

Perkahwinan itu hanya bertahan selama 12 hari selepas mereka bernikah pada 30 Januari 2009.

Roslin kemudian melangsungkan perkahwinan keduanya dengan Pengarah Pemasaran dan Promosi, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Nurhayati Othman, 39, pada 9 Julai lalu.

Bagaimanapun, perkahwinan kedua itu juga hanya bertahan selama 28 hari selepas dia melafazkan cerai terhadap Nurhayati pada 7 Ogos lalu di bilik 533, Hotel Corus, Jalan Ampang.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain