suria

Kastam Rampas Rokok, Mercun Bernilai Lebih RM765,000

KUALA LUMPUR: Kastam Kuala Lumpur berjaya melumpuhkan kegiatan penyeludupan pelbagai jenis rokok dan mercun bernilai lebih RM765,000, dengan cukai tidak berbayar sebanyak RM3.8 juta dalam dua serbuan berasingan pada Jumaat lepas.

Pengarah Kastam Kuala Lumpur, Datuk Saadon Mohd Ros berkata, serbuan oleh sepasukan anggota Bahagian Penguatkuasaan pukul 6.30 petang itu melibatkan tiga buah lori yang diletakkan di pekarangan tanah lapang milik sebuah syarikat di Rawang.

"Hasil pemeriksaan ke atas semua lori itu, kita menemui sebanyak 6,370,000 rokok putih berjenama Luffman yang berjumlah RM318,000 dengan nilai cukai RM3.16 juta, dan barangan itu disyaki belum lulus kastam," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini hari ini.

Saadon berkata bagaimanapun, tiada sebarang tangkapan dilakukan berhubung serbuan rokok yang diimport dari luar negara untuk pasaran tempatan itu.

"Bagaimanapun, pemilik lot parkir itu telah memberikan kerjasama dan menyerahkan perjanjian sewa tanah itu. Mengikut perjanjian itu, penyewa merupakan seorang wanita berusia 39 tahun dan kita sedang mengesan berdasarkan alamat yang diperoleh bagi bantu siasatan kes," katanya.

Saadon berkata, dalam serbuan kedua kira-kira pukul 10 malam, sebanyak 107,740 peket mercun dan bunga api pelbagai jenis serta 780,800 batang rokok kretek jenama Neo Mild dirampas di sebuah rumah kedai di Kampung Baru Batu 11 Cheras.

"Mercun yang dirampas bernilai kira-kira RM354,000 dan melibatkan cukai sebanyak RM230,000 manakala rokok kretek bernilai RM93,000 dan melibatkan cukai RM375,000," katanya.

Beliau berkata, tiada sebarang tangkapan dilakukan, namun pihaknya akan mengesan pemilik premis berkenaan.

Saadon berkata, kedua-dua kes itu disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 iaitu memiliki barang larangan dan belum lulus kastam. Memiliki barang larangan merupakan satu kesalahan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

"Sekiranya disabit kesalahan, mereka boleh didenda bagi kesalahan pertama tidak kurang 10 kali ganda nilai barang dan tidak lebih dari 20 kali ganda daripada nilai barang-barang atau hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Beliau turut meminta kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat mengenai sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi talian bebas tol Bahagian Penguatkuasaan 1-800-88-8855 atau hubungi pejabat kastam yang berdekatan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain