suria

Ibadah Korban Perlu Diterjemahkan Kepada Skop Yang Lebih Luas - Najib

PEKAN: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata ibadah korban bukanlah diertikan sebagai penyembelihan haiwan semata-mata tetapi perlu diterjemahkan kepada skop yang lebih luas.

Beliau berkata ibadah korban perlu dilihat sebagai suatu konsep yang menuntut setiap umat Islam berkorban demi kepentingan agama, bangsa dan negara mereka.

"Kita mesti melihat pengertian berkorban dari skop kecil penyembelihan binatang korban kepada skop yang lebih luas iaitu pada setiap saat dan ketika.

"Kita mesti menggandakan korban tenaga, pemikiran, kepakaran dan masa bagi mentransformasikan negara dalam pelbagai bidang seperti ekonomi, pendidikan, sosial dan politik.

"Sebagai contoh Model Ekonomi Baru, Pelan Transformasi Ekonomi dan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), ini bagi meningkatkan ketakwaan kepada Allah dan menjana kemakmuran rakyat," katanya ketika berucap pada majlis penyampaian sumbangan lembu-lembu korban untuk Parlimen Pekan di sini, Selasa.

Turut hadir isteri beliau Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob dan ketua-ketua Bahagian Umno bahagian di Pahang.

Sebanyak 659 ekor lembu disumbangkan oleh 20 syarikat untuk diagih-agihkan kepada 14 bahagian Umno di Pahang dan 55 buah masjid di kawasan Parlimen Pekan.

Najib berkata falsafah ibadah korban menekankan kesatuan umat yang dibina atas dasar takwa bagi memantapkan dan mengharmonikan hubungan sesama manusia yang terdiri daripada pelbagai agama dan kaum seperti mana konsep 1Malaysia.

"Dari sudut lain, ibadah korban adalah satu cara yang amat baik bagi menjalin kemesraan dan kasih sayang sesama masyarakat, iaitu apabila masyarakat mengamalkan gotong royong ketika melapah dan mengagihkan daging korban termasuk mengadakan kenduri kesyukuran.

"Ini kerana matlamat yang diidamkan tidak akan menjadi kenyataan jika hanya mengharapkan sesuatu datang bergolek," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain