suria

Mahkamah Batal Saman RM10 Juta Samy Vellu Ke Atas Vigneswaran Dan 3 Yang Lain

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini Isnin, membatalkan saman fitnah RM10 juta yang dibawa Presiden MIC Datuk Seri S.Samy Vellu ke atas bekas Ketua Pemuda parti S.Vigneswaran dan tiga yang lain berhubung sebuah artikel yang didakwa memfitnahnya.

Hakim Datuk Zaleha Yusof membuat keputusan itu di dalam kamar, membenarkan permohonan Vigneswaran dan tiga yang lain untuk membatalkan saman Samy Vellu ke atas mereka.

Peguam Vigneswaran, A.Vasanthi memberitahu pemberita bahawa mahkamah juga mengarahkan Samy Vellu membayar kos guaman RM5,000 kepada setiap defendan iaitu Vigneswaran, editor Malaysia Nanban M. Maryanandy, penerbit akhbar Tamil Penerbitan Sahabat (M) Sdn Bhd dan pencetak Aslita Sdn Bhd.

Pada 22 Feb tahun ini, Vigneswaran dan tiga yang lain memfailkan permohonan untuk membatalkan saman itu atas alasan bahawa Samy Vellu telah secara sengaja tidak meletakkan kausa tindakan bagi melambat-lambatkan perbicaraan.

Pada 24 Julai, 2008, Samy Vellu memfailkan saman RM10 juta terhadap mereka menuntut ganti rugi atas libel, ganti rugi bagi konspirasi, ganti rugi teruk, kos dan lain-lain relif yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Dalam samannya, bekas Menteri Kerja Raya itu mendakwa bahawa artikel yang diterbitkan dalam muka depan Malaysia Nanban dan bersambung pada halaman empat mengandungi elemen-elemen fitnah ke atasnya, menjejaskan kredibiliti, reputasi dan imej dan mengubah persepsi awam terhadap kemampuannya untuk menjaga kepentingan masyarakat India.

Dalam pernyataan pembelaannya yang difailkan pada 13 Ogos, 2008, Vigneswaran berkata semua kenyataan yang dibuatnya adalah benar dan ia bagi memenuhi tanggungjawabnya kepada pemuda India.

Samy Vellu diwakili Mohana Krishna.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain