suria

Dua Maut Nahas Babitkan Tiga Motosikal

KUANTAN: Dua maut dan seorang cedera dalam nahas membabitkan tiga buah motosikal di Jalan Pantai Sepat berhampiran kawasan tanah perkuburan Pantai Sepat, malam tadi.

Pegawai Turut Trafik Pahang, Deputi Supritendan Mohd Najid Jusoh berkata, mangsa Mohammad Fahrizal Wan Rodlin, 17, dan Mohammad Tarmizi Ahmad, 19, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera teruk di kepala dan badan.

"Ketika kejadian 7.14 malam itu, Mohammad Fahrizal yang menunggang motosikal dalam perjalanan dari arah Cherok Paloh menuju ke Kuantan bertembung dengan motosikal yang ditunggang oleh Mohammad Tarmizi dari arah bertentangan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata, sebuah motosikal lain yang datang dari arah Cherok Paloh turut merempuh kedua-dua motosikal mangsa yang bertembung berkenaan.

Penunggang motosikal berkenaan hanya cedera dan kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan.

Sementara itu, seorang warga emas 65 tahun maut selepas dirempuh sebuah lori yang sedang mengundur di kawasan berpasir dekat perkampungan Air Leleh, Pekan, semalam.

Najid berkata, dalam kejadaian 10.40 pagi itu pemandu lori berusia 30an itu tidak menyedari mangsa berada di belakang lori yang dipandunya.

"Pemandu lori berkenaan hanya menyedari telah melanggar mangsa selepas lori yang dipandunya tersangkut sesuatu dan setelah diperiksa terdapat seorang lelaki tertiarap di bawahnya," katanya.

Katanya, mangsa, Abdul Latip Abas disahkan meninggal dunia ketika dibawa ke Hospital Pekan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain