suria

Bidang Siasatan, Operasi & Jenayah Siber JSJK Akan Diperkasakan

ALOR SETAR: Tiga bidang utama -- siasatan, operasi dan jenayah siber -- akan diberi tumpuan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman dalam usaha memperkasa dan meningkatkan perkhidmatan jabatan itu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman yang baru Datuk Syed Ismail Syed Azizan berkata mutu siasatan perlu ditingkat dan proses siasatan juga perlu dicepatkan supaya keputusan dapat dibuat dengan segera terutama daripada pihak Jabatan Peguam Negara.

"Kita akan kaji semula proses siasatan dan jika ada yang perlu ditambah nilai, kita akan buat perubahan di situ," katanya kepada pemberita selepas majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Kedah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah di sini, Isnin.

Pada majlis itu Syed Ismail menyerahkan tugas kepada pemangku Ketua Polis negeri Datuk Asri Yusof. Majlis itu disaksikan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Datuk Khalid Abu Bakar.

Beliau berkata, bidang kedua yang akan diperkasakan ialah bahagian operasi dan risikan memandangkan sekarang ini banyak kegiatan bersindiket dilaporkan.

"Jadi kita perlu perkemaskan bahagian risikan dan operasi supaya kita boleh mengambil tindakan yang berkesan ke atas mereka yang terlibat," katanya.

Syed Ismail yang sebelum ini merupakan Ketua Polis Kedah berkata JSJK, di bawah risikan dan operasi kini dalam perancangan untuk mendapatkan sistem 'criminal profiling' yang boleh membantu pegawai penyiasat jabatan itu menjalankan tugas mereka dengan lebih berkesan.

Mengenai jenayah siber dan multimedia pula, pegawai-pegawai JSJK perlu melengkapkan diri dengan teknologi dan kursus terkini berkaitan siasatan siber memandangkan kini banyak laporan membabitkan penyalahgunaan teknologi itu.

"Ini antara perancangan saya yang perlu dilakukan untuk memperkasa dan meningkatkan lagi perkhidmatan JSJK kepada pelanggan kami selaras dengan misi dan visi pasukan Polis Diraja Malaysia untuk menjadi agensi penguatkuasa yang terulung di Malaysia dan setanding dengan agensi penguatkuasa di negara maju," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain