suria

Pemimpin APEC Sepakat Mahu Rundingan Doha Diselesaikan

YOKOHAMA: Mesyuarat Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) yang berakhir Ahad menekankan tentang perlunya Pusingan Doha diselesaikan agar rundingan itu dapat dimulakan semula pada 2011, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata rundingan tersebut tergendala selama sembilan tahun walaupun pelbagai inisiatif dibuat.

"Ini adalah satu hubungan multilateral dan hampir semua pemimpin sepakat kita kena selesaikan Rundingan Doha ini," kata beliau kepada pemberita Malaysia yang membuat liputan sidang kemuncak APEC itu di sini.

Muhyiddin yang mewakili Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada sidang kemuncak dua hari itu berkata, pemimpin-pemimpin turut menyuarakan pandangan mereka mengenai amalan perlindungan.

"Dalam situasi ekonomi yang belum kukuh ini, kita tidak mahu ada mana-mana negara atau ekonomi yang mengamalkan dasar perlindungan, sama ada menggunakan tarif ataupun lain-lain sekatan bukan tarif termasuk menggunakan regim kewangan atau mata wang," kata beliau.

Semasa ditanya sama ada isu mengenai Perjanjian Kawasan Perdagangan Bebas Asia Pasifik (FTAAP) mencuri perhatian mesyuarat berbanding fokus utama terhadap Strategi Pertumbuhan, beliau berkata FTAAP itu penting bagi APEC dan saling melengkapi dengan Perkongsian Trans Pasifik (TPP).

Malah satu mesyuarat TPP yang diadakan di luar sidang APEC yang dianjurkan oleh Presiden Barack Obama telah menyaksikan kehadiran Perdana Menteri Jepun Naoto Kan.

Muhyiddin berkata anggota-anggota yang telahpun berada di dalam TPP menyuarakan pandangan supaya Jepun dapat membuat keputusan cepat untuk menyertai TPP walaupun sedar terdapat banyak perkara yang hendak diuruskan dalam negara Jepun itu sendiri.

Anggota-anggota TPP berharap agar Jepun dapat membuat keputusan tersebut sebelum sidang APEC seterusnya di Amerika Syarikat tahun depan.

Anggota-anggota asal TPP ialah New Zealand, Chile, Brunei dan Singapura dan keanggotaannya diperluaskan kepada Amerika Syarikat, Australia, Peru dan Vietnam. Malaysia diterima sebagai rakan rundingan sepenuhnya pada Oktober lepas.

Ketika ditanya mengenai suasana persidangan APEC kali ini, Muhyiddin berkata beliau gembira penglibatan semua ketua kerajaan adalah aktif dan masing-masing memberikan pendapat yang serupa mengenai hala tuju APEC.

Tanda muafakat ini, tambah beliau, adalah baik untuk masa depan APEC.

Sementara itu, Muhyiddin serta isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman meninggalkan tempat penginapan di Yokohama Bay Sheraton Hotel pada pukul 2.30 petang sebelum ke Lapangan Terbang Haneda untuk berlepas pulang ke Malaysia. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Zaid Keluar PKR

Artikel Lain