suria

Banjir: Sultan Kedah Dukacita Sumbangan Kerajaan Negeri Tidak Dihargai

ALOR SETAR: Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah hari ini melahirkan rasa dukacita terhadap pihak-pihak yang tidak menghargai sumbangan serta pengorbanan kerajaan negeri dan semua pihak yang terlibat dalam membantu mangsa banjir di Kedah.

Baginda bertitah semua kakitangan jabatan negeri, persekutuan, badan-badan sukarela dan pihak-pihak lain didapati saling membantu dan bekerjasama tanpa mengira sempadan agama, bangsa dan juga fahaman politik, yang menggambarkan kekukuhan semangat perpaduan dan persaudaraan di kalangan rakyat berbilang kaum.

"Beta bersimpati kepada 60,240 orang yang menjadi mangsa banjir kali ini dan berasa sedih di atas kerosakan harta benda, tanaman, ternakan serta kemudahan awam yang dialami oleh setiap mangsa banjir. Namun beta dukacita kerana ada suara sumbang yang tidak menghargai sumbangan dan pengorbanan kerajaan beta serta semua pihak yang terlibat dalam membantu mangsa banjir," titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Majlis Perasmian Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah Penggal Ketiga Mesyuarat Bajet 2011 di Wisma Darul Aman, di sini Ahad.

Sultan Abdul Halim juga bertitah badan pemantauan untuk mengukur tahap pelaksanaan projek perlu ditubuhkan, dan pada masa sama rakyat diberi peluang untuk menzahirkan aduan, pandangan mahupun komen serta maklumat terkini agar perancangan yang dibuat dapat melahirkan kehidupan lebih berkualiti dan harmoni di masa hadapan.

Titah baginda, prestasi negeri Kedah dalam menerima masuk pelaburan asing juga adalah memberangsangkan di mana bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini, jumlah pelaburan dalam sektor perkilangan menjangkau RM1.8 bilion, dan ini menampakkan negeri Kedah sebagai sebuah destinasi pelaburan yang menarik dan menguntungkan di kaca mata pelabur asing.

Baginda seterusnya menyeru agar para petani dan penternak melakukan tranformasi kaedah pertanian secara kecil-kecilan kepada kaedah pertanian bercorak komersial dengan lebih agresif.

"Kerajaan beta menyediakan beberapa program pertanian berskala besar yang turut melibatkan kerjasama GLC, syarikat swasta, petani dan penternak," titah baginda.

Dalam aspek menyemarakkan ilmu keagamaan, baginda bertitah kerajaan negeri menjalankan usaha berterusan bagi meningkatkan penguasaan dan penghayatan ilmu di kalangan masyarakat Islam. Sultan Abdul Halim bertitah minat dan kecenderungan untuk melanjutkan pelajaran di sekolah-sekolah agama semakin meningkat, justeru kerajaan negeri bertindak memperkukuh Maktab Mahmud dan sekolah-sekolah agama milik kerajaan negeri bagi memenuhi pertambahan bilangan pelajar. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Zaid Keluar PKR

Artikel Lain