suria

Terengganu Bangga Dengan Keputusan UPSR Di Kalangan Muridnya

BESUT: Terengganu sedia menambah peruntukan dalam bidang pendidikan bagi memastikan sektor itu terus cemerlang di negeri berkenaan, kata Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said.

"Peruntukan melebihi RM31 juta setiap tahun telah menampakkan hasil apabila sekali lagi Terengganu unggul dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di peringkat negara seperti yang diumumkan Khamis lalu," katanya.

Menurutnya, Terengganu berbangga kerana berjaya menghasilkan seramai 3,560 calon memperolehi 5A atau pencapaian 15.4 peratus menjadikan Terengganu kekal sebagai negeri terbaik dalam UPSR sebanyak 10 tahun berturut-turut.

"Kerajaan negeri yakin dengan pelaburan baik dalam pendidikan ianya akan mampu mengubah corak hidup masyarakat terutama yang masih dalam kedaifan," katanya pada Majlis Bersama Guru-Guru Daerah Besut, di sini, Sabtu.

Pengarah Pelajaran Negeri, Razali Daud serta 3,351 guru hadir dalam majlis itu. Ahmad berkata kerajaan negeri juga akan mengagih-agihkan komputer riba kepada guru secara berperingkat-peringkat mulai tahun depan.-BERNAMA

Artikel Lain