suria

Suspek Curi Dipukul Orang Awam, Polis Pula Dituduh

KUALA LUMPUR: Orang ramai diminta menyerahkan penjenayah yang mereka tangkap kepada polis dan tidak membalas dendam terhadap penjenayah tersebut.

Pemangku Ketua Polis Selangor Datuk A.Thaiveegam berkata tindakan seperti memukul penjenayah sehingga boleh menyebabkan kecederaan, akan hanya mengundang padah pada diri sendiri.

"Seperti apa yang berlaku baru-baru ini apabila pengadu menumbuk kedua-dua mata seorang suspek curi sebelum menyerahkannya kepada pihak polis.

"Selepas kejadian itu, pengadu tersebut memberitahu ibu suspek bahawa anaknya mungkin dipukul polis di dalam lokap sehingga menyebabkan kedua-dua matanya lebam," katanya semasa berucap melancarkan Community Policing Taman Putra Daerah Ampang di sini Jumaat.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Supt Amiruddin Jamaluddin dan Penyelaras Community Policing Selangor Kuan Chee Heng.

Thaiveegam berkata dakwaan palsu itu jelas memburuk dan menjejaskan imej polis sehingga menggugat kepercayaan awam terhadap kredibiliti pasukan itu.

"Atas dakwaan palsu itu juga, kita terpaksa pula membuka satu siasatan walaupun kita yakin kecederaan pada penjenayah itu datangnya dari pengadu tersebut," katanya.

Thaiveegam berkata orang ramai tidak perlu bertindak bersendirian terhadap suspek walau apa juga alasan pun sebaliknya menyerahkan kepada polis.

Dalam ucapannya, Thaiveegam berharap orang ramai melibatkan diri dalam program Community Policing yang bukan hanya bertujuan mengekang jenayah tetapi lebih bersifat untuk menyatupadukan masyarakat. - BERNAMA

Artikel Lain