suria

Sultan Selangor Batal Hadiri Sambutan Yayasan Selangor

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah rasa tidak senang baginda berhubung cara Yayasan Selangor menyambut ulang tahunnya yang ke-40 yang disifatkan baginda sebagai terlalu mahal.

Setiausaha kerajaan negeri, Datuk Ramli Mahmud yang bercakap bagi pihak baginda berkata, sambutan yang menelan belanja sebanyak RM300,000 itu boleh digunakan untuk tujuan yang lebih berfaedah.

Baginda bertitah, wang tersebut sepatutnya digunakan untuk menanggung kos pengajian bagi pelajar dari kampung dan untuk kegunaan kebajikan.

Ramli berkata demikian pada satu sidang media semasa persidangan Dewan Undangan Negeri, petang Jumaat.

Menurut Ramli, Sultan Sharafuddin bertitah, kos untuk mengadakan sambutan itu adalah satu pembaziran dan tidak mendatangkan sebarang pulangan.

Kata Ramli, baginda pada mulanya teruja untuk menghadiri sambutan itu dengan tujuan untuk menghabiskan masa dengan kanak-kanak.

Bagaimanapun apabila mendapati kos untuk sambutan itu terlalu tinggi, baginda membatalkan hasrat untuk mencemar duli menghadirinya.

Dalam pada itu, Ramli berkata, Sultan Sharafuddin juga bertitah, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim yang juga presiden yayasan itu turut tidak mengetahui mengenai kos majlis itu.

Ramli memberitahu majlis itu dijadualkan berlangsung pada Isnin depan di Asrama Tun Dr Ismail di Kampung Pandan.

Artikel Lain