suria

Pelajar Perubatan Malaysia Terbunuh Dalam Nahas Jalan Raya Di Selatan India

CHENNAI: Impian Muhammad Akmal Shahiran Marzukhi untuk menjadi seorang doktor berkecai apabila beliau terbunuh dalam satu kemalangan jalan raya di Selatan India, petang Khamis lalu.

Kemalangan itu berlaku apabila Akmal, pelajar tahun pertama di JJM Medical College di Davangere, di negeri Karnataka, sedang membonceng motosikal yang ditunggang seorang pelajar.

Rakannya cuba mengelak beca bermotor lalu hilang kawalan sebelum terbabas dan jatuh ke dalam longkang.

Akmal cedera parah di bahagian kepala dan meninggal dunia pada hari yang sama di sebuah hospital tempatan. Rakannya terselamat.

Pelajar tajaan Mara berumur 19 tahun itu tiba di India untuk melanjutkan pengajian perubatan September lalu.

Konsul Jeneral Malaysia Anuar Kasman berkata, jenazah pelajar itu diterbangkan dari Bangalore ke Lapangan Terbang antarabangsa Kuala Lumpur awal pagi Sabtu.

Majlis pengebumian akan diadakan di Kuala Kedah.

Davangere terletak kira-kira 260 km dari Bangalore. - BERNAMA

Artikel Lain