suria

Operator Jengkaut Hilang Dalam Laut

JOHOR BAHARU: Seorang operator jengkaut hilang dan dikhuatiri lemas apabila dia dan jenteranya itu jatuh ke dalam laut selepas pasir yang ditambaknya di tapak projek Lido Boulevard di Pantai Lido tiba-tiba tenggelam kira-kira 10.15 malam Jumaat.

Usaha mencari Mohd Nor Miskan, 36, hari ini oleh 20 anggota bomba dan penyelamat termasuk 10 penyelam mereka masih gagal menemuinya.

Yang turut tenggelam bersama mangsa dan jengkautnya ialah dua buah kontena dan sebuah generator elektrik.

"Pihak kami masih meneruskan kerja-kerja mencari dan ketika ini kami belum dapat memberikan maklumat terperinci mengenainya," kata Pegawai Bomba Kanan Bahagian Operasi Balai Bomba Johor Baharu, Aminah Saimin, Sabtu.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff yang turut melawat lokasi kejadian memberitahu pemberita fokus utama pada masa ini ialah untuk menyelamatkan mangsa dan satu jawatankuasa khas akan turut ditubuhkan untuk menyiasat punca kejadian.

Pihak pemaju projek iaitu Central Malaysian Properties Sdn Bhd menerusi satu kenyataan berkata sepasukan perunding teknikal sedang menyiasat punca sebenar kejadian.

"Kami akan menggunakan segala keupayaan kami untuk menangani isu ini," katanya.

Sementara itu kakak mangsa, Hani Masra, 40, yang terkejut dengan kejadian tersebut berkata Mohd Nor sebelum ini bercadang mahu melawat ibu mereka Siti Tasuki, 58, yang sudah dua hari dirawat di Hospital Sultan Ismail kerana menghidap barah pada lehernya.

Menurutnya, adiknya itu sudah berkahwin dan mempunyai empat orang anak berumur antara lima hingga 13 tahun. Usaha mencari dan menyel amat mangsa akan diteruskan semula pagi esok.-BERNAMA

Artikel Lain