suria

Mahkamah Tolak Saman Fitnah RM27 Juta Warga Finland Berhubung Kes Noritta

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak dengan kos saman fitnah RM27 juta oleh seroang pengurus pemasaran warga Finland terhadap media berkaitan laporan kes bunuh eksekutif pemasaran Noritta Samsuddin, tujuh tahun lalu.

Hakim Datuk Lau Bee Lan memutuskan penyiaran artikel dan gambar Nikko Kauko Johannes Jarva, 35, dalam laporan kes bunuh Noritta hanya melaporkan fakta bahawa dia ditahan dan direman berhubung kes pembunuhan itu.

"Kita harus membezakan maksud 'disyaki' dan 'bersalah' di mana 11 artikel hanya melaporkan Jarva ditahan kerana disyaki terbabit dalam kes itu dan bukan melakukan pembunuhan," katanya.

Pada 9 April 2004, Jarva menamakan New Straits Times Press (NSTP), New Straits Times Sdn. Bhd., Tan Sri Abdullah Ahmad, Berita Harian Sdn. Bhd., Datuk Hishamuddin Aun, Datuk Ahiruddin Atan, Mohd. Zian Johari, Utusan Melayu Berhad dan bekas Ketua Pengarangnya, Datuk Khalid Mohd sebagai defendan-defendan.

Sebelum itu, broker (orang tengah) Shahfrul Azrin Azman, 36, turut memfailkan saman fitnah yang sama pada 26 Mac 2004 terhadap media tetapi samannya ditolak oleh mahkamah awal tahun ini.

Hakim Lau bersetuju dengan hujahan peguam defendan Nad Segaram bahawa penyiaran laporan penangkapan Jarva, selaku plaintif, bukan perkara privasi dan isu privasi yang dibangkitkan oleh plaintif bukan perkara untuk mahkamah putuskan.

Lau juga tidak bersetuju bahawa penyiaran artikel tersebut telah melanggar Artikel 5 Perlembagaan Persekutuan yang melindungi privasi individu seperti ditegaskan oleh Jarva.

Hakim Lau kemudian memerintahkan plantif membayar kos RM75,000 kepada tujuh penerbit dan editor kumpulan NSTP dan RM75,000 lagi kepada Utusan Melayu dan Mohd Khalid.

Jarva mendakwa pihak defendan telah menyiarkan berita dan gambar yang mengaitkan dirinya dalam kes pembunuhan Noritta.

Dalam penyataan tuntutannya, Jarva berkata dia ditahan dan direman polis pada Disember 2003 berhubung penyiasatan terhadap pembunuhan Noritta dan sepanjang tempoh dua minggu itu dia bertegas menyatakan dirinya tidak bersalah.

Jarva berkata penerbitan itu langsung tidak betul, palsu, menyakitkan hati dan tiada benarnya kerana dia akhirnya tidak didakwa polis kerana tidak bersalah dan dalam kes itu, pada peringkat berkenaan, identiti dirinya patut dilindungi oleh kesemua defendan.

Dalam pembelaan, penerbit dan editor kumpulan NSTP menafikan penyiaran artikel yang kononnya berunsur fitnah beserta dengan gambar plaintif dilakukan tanpa berniat jahat.

Mereka mendakwa mereka bertindak dalam lingkungan tugas biasa dengan tugas melaporkan acara yang diminati pembaca.

Sementara itu, Utusan Melayu, dalam pembelaannya, berkata perkataan yang diadu oleh plaintif dan gambar yang disiarkan adalah atas hak perlindungan bersyarat.

Utusan Melayu dan bekas ketua pengarahnya diwakili oleh Mohana Kumar manakala Jarva pula oleh S.N.Nair dan Wan Anuar Shaddat. - BERNAMA

Artikel Lain