suria

Mahkamah Persekutuan Enggan Dengar Permohonan Shamala

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini enggan mendengar permohonan bekas kerani bank, S. Shamala, untuk merujuk isu-isu perlembagaan berhubung pertukaran agama dua anak lelakinya oleh suaminya Dr M. Jeyaganesh yang memeluk Islam.

Ketua Hakim Negara Tun Zaki Azmi, yang mengetuai panel lima hakim, enggan memberi peluang kepada Shamala bagi mendengar isu-isu perlembagaan berhubung kesahihan mengislamkan kedua-dua anaknya yang ketika itu berusia tiga dan dua tahun pada 2002.

Ini kerana Shamala dipercayai meninggal negara ini untuk ke Australia pada 2004 bersama dua anak pasangan itu dan majoriti ahli panel juga enggan memberi masa untuk wanita itu kembali ke Malaysia bagi menentukan permohonan rujukannya, katanya.

Mahkamah juga memberikan permohonan Dr Jeyaganesh yang membantah permohonan bekas isterinya yang didakwa tiada hak untuk didengar di mahkamah kerana wanita itu sedang berdepan dengan tindakan menghina mahkamah.

"Bagi membenarkan sekali lagi peluang akan menggalakkan orang seperti dia melakukan penghinaan mahkamah dengan harapan mahkamah akan memberi peluang untuk memperbetulkannya.

"Undang-undang dan perintah mahkamah perlu dihormati dan dipatuhi dan bukan dipandang rendah atau hina," katanya.

Shamala, 37 berkahwin dengan Dr Jeyaganesh, 41, mengikut undang-undang sivil pada 1998 tetapi empat tahun kemudian, Dr Jeyaganesh memeluk agama Islam dengan nama Muhammad Ridzwan Mogarajah.

Dr Muhammad Ridzwan turut menukar agama kedua-dua anak lelaki mereka, Saktiwaran dan Theiviswaran kepada agama Islam tanpa pengetahuan dan persetujuan Shamala.

Pada Julai 2004, Mahkamah Tinggi memberikan hak penjagaan bersama kepada psangan tersebut dan sementara meunggu rayuan terhadap keputusan itu, Shamala meninggalkan negara ini.

Zaki berkata Shamala tidak berada di negara selama enam tahun sejak 2004 dan mempunyai hak penjagaan anak secara tidak sah.

"Sekiranya dia kembali ke Malaysia dan jika mahkamah mahu meminta anak-anak itu siapa mereka hendak tinggal bersama, besar kemungkinan mereka akan memilih untuk bersama ibu mereka," katanya.

Oleh itu, Zaki berkata Shamala mempunyai kelebihan yang tidak adil kerana tidak mematuhi perintah mahkamah berhubung hak penjagaan bersama.

Panel hakim dianggotai oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff, Hakim Besar Malaya Tan Sri Arifin Zakaria dan hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Zulkefli Ahmad Makinudin bersetuju dengan penghakiman Zaki.

Memberi pandangan berbeza, Ketua Hakim Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum berkata adalah adil untuk mahkamah memberikan tempoh tiga bulan untuk Shamala kembali ke Malaysia bagi mendengar permohonannya.

Bagaimanapun, katanya sekiranya Shamala tidak kembali dalam tempoh masa itu maka Mahkamah Persekutuan akan membatalkan permohonan itu dengan kos.

Shamala dalam permohonannya merujuk lima perkara ke Mahkamah Persekutuan yang pada dasarnya sudah dipersetujui oleh Mahkamah Rayuan.

Lima perkara tersebut adalah:

1. Sama ada Seksyen 95 (b) Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah Persekutuan) 1993 adalah bercanggah atau ultra vires dengan Artikel 12 (4) Perlembagaan Persekutuan, khususnya berhubung hak menentukan agama kanak-kanak di bawah usia 18 tahun ditentukan oleh ibu bapa atau penjaga dan Artikel 8 berhubung hak sama rata.

2. Sama ada seksyen yang sama dalam undang-undang negeri tidak konsisten dengan undang-undang persekutuan, khususnya Seksyen 5 (1) Akta Penjagaan Kanak-kanak 1961 dan justeru itu adalah tidak sah.

3. Berhubung Artikel 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan, apabila hak penjagaan kanak-kanak diputuskan, mahkamah mana yang dianggap lebih berkuasa - antara Mahkamah Syariah atau Mahkamah Tinggi?

4. Apabila kanak-kanak yang ibu bapa mereka berkahwin mengikut undang-undang sivil, ditukar agama kepada Islam oleh seorang daripada ibu bapa mereka tanpa pengetahuan seorang lagi, adakah hak ibu atau bapa yang bukan Islam itu terletak dengan Mahkamah Tinggi?.

5. Adakah Mahkamah Syariah mempunyai kuasa bagi menentukan kesahihan pertukaran agama golongan bawah umur ke Islam, apabila ia telah didaftarkan dengan Pendaftar Muallaf?. Bekas presiden Majlis Peguam, Datuk Ambiga Sreenevasan, salah seorang peguam Shamala, berkata jawapan mahkamah kepada persoalan adalah amat penting bukan sahaja untuk anak guamnya tetapi juga kepada orang lain yang terperangkap dalam keadaan sama.

"Jika Shamala tidak ada tempat di mahkamah tertinggi negara ini bagi menuntut keadilan, mana lagi dia hendak pergi?, tanyanya.

Katanya bahaya keputusan itu mungkin menggalakkan orang tidak menuntut keadilan di mahkamah tetapi meninggalkan badan kehakiman sama sekali.

Selain Ambiga, pasukan peguam Shamala terdiri daripada Datuk Dr Cyrus Das, Ravi Nekoo dan Steven Thiru.

Bagaimanapun, peguam Dr Muhammad Ridzwan dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Zulkiflee Che Yong dan Azmi Mohd Rais menyambut baik keputusan itu kerana ia mengiktiraf hak berperlembagaan semua pihak yang terbabit. - BERNAMA

Artikel Lain