suria

Lelaki Pesakit Mental Maut Terjun Bangunan

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki yang dipercayai pesakit mental ditemui mati dengan kecederaan teruk di kepala setelah terjun dari biliknya di tingkat 11, Blok 11 di Kondominium Genting Court, Jalan Genting Klang di sini, Jumaat.

Pegawai Penyiasat Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul Insp Edzrul Omar berkata lelaki berumur lingkungan 30-an itu ditemui mati oleh orang awam dalam keadaan tidak berpakaian kira-kira pukul 7.20 malam di tempat letak kereta.

"Pemeriksaan polis ke atas bilik mangsa menunjukkan tidak terdapat unsur jenayah dan kita tidak menemui sebarang dokumen mangsa.

"Kita juga menemui sebuah bangku berdekatan tingkap yang terbuka luas dan kita percaya mangsa naik atas atas bangku itu sebelum bertindak terjun dari biliknya," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Beliau berkata siasatan awal mendapati lelaki yang berasal dari Terengganu itu baru sebulan menetap di situ.

"Penghuni di rumah itu memberitahu mangsa sewa bilik itu baru sebulan untuk mencari pekerjaan di sini," katanya.

Beliau berkata setakat ini polis tidak mengesyaki sebarang perbuatan jenayah dan kes itu diklasifikasikan sebagai kematian mengejut manakala mayat dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat. - BERNAMA

Artikel Lain