suria

Landasan Keretapi Berkembar Bukan Punca Banjir - KTM

KUALA LUMPUR: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB)menganggap langkah kerajaan negeri Pulau Pinang yang mahu projek Landasan Berkembar Elektrik (PLBE) dihentikan kerana mendakwa ia punca banjir di Kedah adalah tidak wajar dan tidak berasas.

Pengurus Kanan Unit Komunikasi Korporat KTMB Mohd Fazli Ismail berkata projek itu tidak menyumbang kepada banjir yang lebih kronik di Kedah mahupun seperti dikhuatiri di Pulau Pinang.

"Laporan Jabatan Meteorologi menunjukkan hujan lebih dari luar biasa iaitu hampir sekali ganda direkodkan pada 2005, iaitu peningkatan paras air dari 119m kepada 207mm.

"Banjir juga berlaku di Selatan Thailand dan tidak ada PLBE dijalankan. Adalah tidak berasas untuk meletakkan punca dan kekhuatiran berlakunya banjir atas sebab PLBE," katanya dalam satu kenyataan di sini, Sabtu.

Beliau berkata arahan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng supaya kontraktor PLBE menghentikan kerja-kerja serta merta akan membawa implikasi kos dan kelewatan penyiapan projek.

Mohd Fazli berkata arahan itu akan turut menjejaskan perancangan pembangunan industri pelancongan melalui perkhidmatan kereta api yang akan kelak membawa manfaat kepada rakyat di Perak, Kedah, Pulau Pinang dan Perlis.

Katanya KTMB dan kontraktor bertanggungjawab iaitu MMC-Gamuda Joint Venture bagaimanapun akan mengaturkan perbincangan lanjut bersama wakil kerajaan negeri untuk mencari penyelesaian perkara berkenaan.-BERNAMA

Artikel Lain