suria

Kerajaan Komited Pastikan OKU Nikmati Hak Sama Rata

KUALA LUMPUR: Kerajaan komited memastikan golongan orang kelainan upaya (OKU) menikmati hak yang sama rata dalam setiap aspek kehidupan, termasuk dari segi pekerjaan dan akses.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Senator Heng Seai Kie berkata dalam semua dasar kerajaan dan komitmen nasional, hak bagi OKU mendapat akses kepada pekerjaan sudah ditetapkan oleh perlembagaan.

Beliau berkata dalam usaha merealisasikan aspirasi dan objektif ini, pelbagai strategi serta program dirancang dan dilaksanakan oleh kerajaan, sebagai contohnya usaha memastikan ada tempat untuk OKU dalam perkhidmatan awam dan sektor swasta.

Dalam ucapannya pada majlis perasmian Konvensyen Pemulihan Berasaskan Komuniti Asia-Pacific 2010 di sini, Sabtu, beliau berkata kerajaan menerusi pelbagai agensi turut berusaha membaiki sistem sokongan buat OKU seperti latihan kerajan bagi memastikan mereka berupaya mendapat pekerjaan.

Menurutnya kerajaan juga meningkatkan program-program latihan dan pembiayaan kredit mikro bagi membantu OKU dalam menjalankan perniagaan di samping memberikan pengurangan cukai kepada majikan bagi menggalakkan mereka mengambil pekerja dari kalangan OKU.

Heng berkata penganjuran konvensyen sulung yang disertai 31 negara itu adalah selaras dengan komitmen kerajaan Malaysia bagi memperkasa rakyat dengan semangat 1Malaysia-Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, di mana golongan OKU tidak terkecuali.-BERNAMA

Artikel Lain