Kejadian Dua Warga Nigeria Lolos Diri Tidak Jejas Keselamatan Negara - Hishammuddin - Semasa | mStar

Kejadian Dua Warga Nigeria Lolos Diri Tidak Jejas Keselamatan Negara - Hishammuddin

KLUANG: Kejadian dua tahanan warga Nigeria yang berjaya meloloskan diri dari kenderaan Jabatan Imigresen dua hari lepas, tidak menjejaskan keselamatan negara, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata bagaimanapun, kementeriannya memandang serius perkara itu dan siasatan terperinci sedang dijalankan terhadap dua pegawai Imigresen yang mengiringi kedua-dua tahanan berkenaan.

"Dalam hal berkaitan negara, saya sudah kata, kita (KDN) akan mengambil tindakan tegas, tidak kira orang luar atau pegawai kita sendiri sekiranya tindakan mereka menjejaskan keselamatan negara.

"Sudah tiba masanya kita serius hal-hal berkaitan pintu masuk negara dan saya cukup yakin mereka yang terlibat bukan sahaja bertaubat, tetapi menjadi pengajaran kepada pegawai lain," katanya kepada pemberita selepas menghadiri rumah terbuka Deepavali anjuran Parlimen Sembrong dekat di sini, Sabtu.

Hishammuddin yang juga anggota Parlimen Sembrong berkata, kedua-dua pegawai berkenaan kini digantung tugas bagi membolehkan siasatan dilakukan, dan pihaknya akan mengemukakan laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk siasatan lanjut.

Insiden pada 11.30 malam itu berlaku ketika dua warga Nigeria berkenaan dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang untuk dihantar pulang ke negara asal mereka.

Sebelum itu, mereka ditahan di Depoh Tahanan Imigresen KLIA atas kesalahan penyalahgunaan pas pelajar dan dikenakan tindakan pengusiran.

Dalam perkembangan lain, Hishammuddin meminta anggota polis, Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) dan Ikatan Relawan Rakyat (Rela) yang membantu mangsa banjir di Kedah dan Perlis, supaya kekal di kedua-dua negeri untuk tempoh seminggu lagi bagi menghadapi kemungkinan berlakunya gelombang kedua banjir.

"Kebanyakan anggota ini datang dari negeri lain. Kalau air sudah surut, kita izinkan mereka pulang, tetapi kita juga tidak menghadapi masalah untuk menggerakkan mereka semula sekiranya diperlukan," katanya.

Beliau berkata anggota polis, JPAM dan Rela yang berada di Kedah dan Perlis kini menumpukan usaha membersihkan tempat ibadat, sekolah dan taman perumahan di kedua-dua negeri. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain