suria

Iktiraf Hak Kaum Lain Untuk Dapatkan Sokongan

SUNGAI PETANI: Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta masyarakat di negara ini supaya mengiktiraf dan menghormati hak-hak kaum lain di Malaysia bagi mewujudkan sokongan antara kaum dalam memajukan negara ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata rakyat negara ini perlu memandangkan ke hadapan untuk melihat kejayaan Malaysia dan tidak sepatutnya memperdulikan apa yang dikritik oleh pihak lain.

"Masyarakat India, hanya 10-11 peratus, tetapi kita tetap kena beri sokongan dan galakan untuk mereka berjaya. Begitu juga Tionghua walaupun hanya kira-kira 20 peratus, pun kena sokong juga.

"Orang Melayu dan bumiputera di Sabah dan Sarawak pun perlu dihormati. Kita tak boleh berjaya kalau tak bertanggungjawab untuk jayakan usaha bersama," katanya dalam ucapannya pada Majlis Rumah Terbuka Malaysia Deepavali 2010 di Taman Keladi di sini, Sabtu.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Turut hadir Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S. Subramaniam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Chor Chee Heung, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Masyarakat dan Sumber Manusia Kedah S. Manikumar serta kedua-dua Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan iaitu Datuk Joseph Salang Gandum dan Datuk Maglin Dennnis D'cruz.

Muhyiddin berkata masyarakat di negara ini juga perlu mengamalkan sikap mencintai semua budaya di negara ini tanpa mengira kaum.

"Saya mempunyai pandangan menerusi seni dan budaya boleh capai banyak perkara, antaranya perpaduan. Orang Melayu kena fahami budaya orang Cina dan India. Begitu juga orang Tionghua dan India kena terima budaya kaum-kaum lain.

"Semalam ada dibentang di Kabinet berkenaan kertas cadangan industri kreatif. Menerusinya semua kaum diberi peluang untuk mencemerlangkan seni budaya masing-masing," katanya.

Beliau berkata rakyat Malaysia tidak sepatutnya melupakan ciri-ciri keMalaysianan yang telah membentuk rakyat di negara ini iaitu antaranya hormat menghormati, dan berbudi bahasa.

"Baru-baru ini bila banjir di Kedah, semua masyarakat di negara ini tampil. Semua kaum dibantu. Usaha-usaha seperti ini kita perlu teruskan. Seperti masyarakat India, walaupun minoriti, kerajaan Barisan Nasional akan teruskan bantuan, sokongan dan kerjasama. Orang yang cuba menghalang perpaduan adalah orang yang tidak berpandangan jauh," katanya.

Muhyiddin berkata masyarakat di negara ini perlu mencari cara untuk bersekutu dan dalam hal ini anak-anak muda perlu diberi perhatian dan bimbingan supaya mereka sedar kepentingannya.

"Kita di Malaysia ini sebenarnya kian lama kita kian bersatu," katanya.

Beliau berkata amalan berkunjung ke rumah-rumah penganut agama lain sewaktu hari perayaan merupakan amalan yang telah lama dilakukan dalam menyatupadukan rakyat di seluruh tanah air. Sementara itu, Subramaniam ketika berucap mewakili masyarakat India berkata kerajaan sentiasa berusaha mengenal pasti masalah kaum India dan mencari penyelesaiannya. "Terima kasih kepada Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri kerana kesediaan untuk mendengar masalah semua kaum di negara ini. Mereka sentiasa bersama bersungguh-sungguh untuk mencapai satu idelogi kebangsaan," katanya.

Hampir 30,000 orang hadir pada majlis rumah terbuka ini.

Terdahulu, Rais yang tiba pada 4.30 petang mengunjungi enam rumah keluarga India di Taman Keladi dan menyerahkan sumbangan yang berupa sari, dhotti, wang tunai RM1,000 dan komputer riba 1Malaysia.-BERNAMA

Artikel Lain