suria

Hadi Akui Undi Melayu Diperlukan Bagi Mengambil Alih Pemerintahan Negara

SHAH ALAM: Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini berkata PAS perlu berusaha meningkatkan sokongan orang Melayu jika ingin menguasai pemerintahan negara. Beliau berkata kekuatan politik di negara ini terletak di tangan orang Melayu termasuk anggota Umno.

"Kita tidak boleh menang dengan undi kita sahaja. Kita perlu undi-undi yang bukan ahli juga, yang bukan penyokong kita pun termasuk orang Umno," katanya semasa berucap di majlis perasmian Seminar PAS Ganti Umno, Sabtu.

Oleh itu, beliau berkata anggota PAS perlu bersikap terbuka dengan berdakwah dan memujuk mereka yang bukan anggota untuk mereka menerima PAS mengambil alih pemerintahan negara.

Pada masa yang sama, beliau berkata pada pilihan raya akan datang, jumlah calon muda yang diketengahkan juga dijangka meningkat.

"Calon-calon muda diperlukan daripada segi kecergasan mereka manakala yang tua pula diperlukan daripada segi pengalaman," katanya.

Abdul Hadi berkata PAS akan meletakkan calon daripada anggota-anggotanya untuk bertanding di kawasan bukan Melayu pada pilihan raya akan datang.

Beliau berkata PAS yakin mendapat sokongan daripada para pengundi bukan Melayu kerana pada pilihan raya umum lepas, ada peti undi daripada kawasan bukan Melayu dimenangi PAS, seperti di Broga yang terletak di sempadan Selangor dan Negeri Sembilan.-BERNAMA

Artikel Lain