suria

Gerakan Tidak Perlu Tergesa Ke Arah Peralihan Pucuk Pimpinan

IPOH: Parti Gerakan tidak perlu tergesa-gesa ke arah menyediakan pelan peralihan kuasa pucuk pimpinan kerana ia masih boleh dibincangkan bila tiba masa yang lebih sesuai, kata Timbalan Presiden Datuk Chang Ko Youn.

Beliau berkata sebaliknya tumpuan penuh perlu diberikan untuk membuat persiapan awal menghadapi pilihan raya umum ke-13 tidak lama lagi.

"Kedudukan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon sebagai presiden Gerakan sudah dijelaskan beliau pada perhimpunan parti yang baru selesai minggu lepas...jadi pelan peralihan kuasa kepimpinan tertinggi parti itu bukan perkara penting buat masa sekarang.

"Saya rasa ini (ke arah peralihan kuasa) adalah pra-matang, ini bukan masa untuk bercakap mengenai perkara itu, lebih baik kita memberi tumpuan kepada pilihan raya," katanya kepada pemberita selepas majlis "Jasa Mu di Kenang" di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Poi Lam di sini hari ini.

Beliau berkata Koh sendiri telah menjelaskan komitmennya untuk menerajui parti Gerakan selama dua penggal atau lebih awal sekiranya ada pengganti pada perhimpunan parti minggu lepas.

Chang berkata komitmen yang dijelaskan Koh sudah cukup untuk membolehkan parti itu menumpukan sepenuh perhatian kepada membuat persiapan menghadapi pilihan raya umum nanti.

"Keutamaan akan diberikan kepada proses menyedia dan mengenalpasti senarai calon di semua negeri untuk dikemukakan kepada peringkat tertinggi kepimpinan parti," katanya.

Beliau berkata perkara itu telah diluluskan pada perhimpunan parti tersebut minggu lepas bagi membolehkan senarai calon yang dipilih diteliti secara terperinci.

Katanya ia membolehkan Gerakan mempunyai calon yang paling sesuai untuk menggalas cabaran Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum itu dan dapat menebus kembali kekalahan yang dialami parti tersebut terutama di Pulau Pinang pada pilihan raya umum lepas.

Mengenai senarai lengkap calon bagi negeri Perak, Chang yang juga pengerusi Gerakan negeri berkata ia akan dikemukakan kepada pucuk pimpinan parti akhir tahun ini. - BERNAMA

Artikel Lain