suria

Teresa Kok Buat Laporan Terhadap Pengerusi PKR Puchong

PETALING JAYA: Exco Kerajaan Negeri Selangor, Teresa Kok akan membuat satu laporan rasmi kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) terhadap Pengerusi PKR Puchong, S.Murali yang didakwanya sengaja menghalangnya daripada menjalankan tugas sebagai wakil rakyat.

"Saya mahu pemimpin PKR tahu bagaimana sikap ahli parti itu terhadap saya dan Presiden Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Datuk Adnan Ikhsan ketika kami melawat tapak kuil yang diroboh di Puchong pada Khamis," katanya.

Murali telah menyelar Kok dan Adnan semasa mereka melawat tapak di SJKT Castlefield sebelum satu sidang media diadakan tentang menyelesaikan satu pertikaian melibatkan sebuah kuil yang terdapat di situ dengan menuduh mereka cuba mencari publisiti murahan.

Kok berkata, beliau telah mendiamkan diri sepanjang berada di sana kerana tidak mahu bergaduh dengan Murali.

"Murali ada isu dengan saya kerana saya sendiri telah berhubung terus dengan pihak lembaga sekolah dan tidak melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang dinaungi oleh sepupunya, N.Sevanesan," ujarnya.

Katanya lagi, Murali turut mempunyai konflik dengannya pada masa lalu.

"Tahun lalu, Sevanesan telah menghebahkan kepada awam dengan mendakwa saya telah meminggirkan kaum India dan hanya mempertahankan komuniti Melayu dan Cina. Perkara itu adalah tidak benar sama sekali," katanya.

Pada sidang media itu, MPSJ menawarkan sebidang tanah kepada sebagai alternatif bagi pembinaan semula kuil itu yang telah dirobohkan pada 2 November lepas.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor, Dr xavier Jayakumar berkata tindakan dan kelakuan Murali itu tidak boleh diterima.

"Teresa telah membuat laporan kepada kita mengenai perkara itu. Sebagai Pengerusi PKR Puchong, beliau sepatutnya menunjukkan contoh yang baik dalam menyelesaikan masalah dan bukannya menambahkan masalah," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata ahli parti itu sepatutnya duduk berbincang jika mempunyai sebarang masalah antara mereka daripada bertindak diluar batasan.

"Mereka perlu bersikap matang. Murali juga perlu faham apa yang diperlukan untuk menjadi seorang pemimpin," katanya.

Xavier berkata, di dalam Lembaga Disiplin PKR telah termaktub peraturan dan undang-undang.

"Terpulang kepada pihak lembaga untuk menentukan nasib beliau dalam parti," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain