suria

Sultan Selangor Batal Hadiri Jamuan Yayasan Selangor

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dukacita dengan Yayasan Selangor yang menganjurkan jamuan sambutan ulang tahunnya ke-40 dengan kos yang sangat tinggi.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ramli Mahmud memberitahu, sehubungan itu baginda membatalkan keberangkatan ke majlis tersebut kerana sepatutnya sambutan yang menelan belanja sebanyak RM300,000 itu boleh digunakan untuk tujuan yang lebih berfaedah.

Baginda bertitah, wang tersebut sepatutnya digunakan untuk menanggung kos pengajian bagi pelajar dari kampung dan untuk kegunaan kebajikan.

Ramli berkata demikian pada satu sidang media semasa persidangan Dewan Undangan Negeri, petang Jumaat.

Menurut Ramli, Sultan Sharafuddin bertitah, kos untuk mengadakan sambutan itu adalah satu pembaziran dan tidak mendatangkan sebarang pulangan.

Baginda pada mulanya teruja untuk menghadiri sambutan itu dengan tujuan untuk beramah mesra dan meluangkan masa dengan kanak-kanak.

Bagaimanapun apabila mendapati kos untuk sambutan itu terlalu tinggi, baginda membatalkan hasrat untuk menghadirinya.

Dalam pada itu, Ramli berkata, Sultan Sharafuddin juga bertitah, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim yang juga presiden yayasan itu turut tidak mengetahui mengenai kos majlis itu.

Katanya, majlis itu dijadualkan berlangsung pada Isnin depan di Asrama Tun Dr Ismail di Kampung Pandan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain