suria

PKR Setuju Wujud Panel Pemantau JPP - Mustaffa

PETALING JAYA: Sebuah panel pemantau pakar akan diwujudkan bagi memantau ketelusan dan integriti Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) dalam pemilihan parti 2010, kata Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mustaffa Kamil Ayub.

Beliau berkata, perkara itu merupakan antara rumusan muafakat tiga komitmen utama menerusi pertemuan khusus bersama Pengerusi JPP, Dr Molly Cheah.

“Mereka yang dilantik sebagai ahli panel akan diputuskan oleh Dr Molly Cheah. Belum ada nama khusus meskipun sudah ada beberapa nama.

“Ini termasuk nama Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mungkin juga masuk dalam panel itu tetapi selebihnya akan dicadangkan oleh Dr Molly Cheah kepada Majlis Pimpinan Pusat (MPP) atau Biro Politik parti,” katanya pada sidang media di sini, Jumaat.

Antara lain bagi rumusan muafakat tiga komitmen utama adalah JPP akan diangkat sebagai sebuah badan yang benar-benar berautonomi.

Selain itu, ia turut memperjelaskan tentang tindakan berdasarkan cadangan yang dibuat dalam memorandum terutama mengenai pengendalian aduan dan bantahan yang telah dikemukakan sama ada di peringkat pemilihan cabang atau pusat bagi memperbaiki kesilapan lalu.

Mustaffa berkata, JPP seharusnya segera meneliti dan membuat semakan terhadap aduan dan bantahan yang diterima.

“JPP juga seharusnya menjalankan siasatan terhadap ketidakadilan, ketidaktelusan yang berlaku sejak pemilihan Mesyuarat Agung Tahunan Cabang (MATC) dan MPP,” katanya.

Dalam pada itu, Mustaffa menjelaskan bahawa tanggapan sebahagian anggota aprti mengenai kehadiran beliau bersama Datuk Zaid Ibrahim meminta Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berundur adalah tidak benar.

Menurut beliau, kehadiran beliau bersama Zaid adalah atas prinsip bersama yang meminta JPP berlaku adil dalam proses Pemilihan 2010 ini dan menyekat unsur-unsur manipulasi yang berlaku dalam pemilihan.

“Perkara itu diambil kesempatan oleh pelbagai pihak termasuk sesetengah pimpinan parti untuk menjatuhkan kredibiliti saya.

“Ingin saya perjelaskan pada sidang akhbar bersama Zaid itu diadakan secara berasingan dan tujuan saya hanya memaklumkan mengenai penyerahan memorandum berkaitan dengan masalah dalam pemilihan parti,” katanya.

Beliau berkata, sememangnya dalam pemilihan parti mempunyai cabaran tetapi apa yang dimahukan adalah keadilan itu diberikan kepada anggota KEADILAN dan calon-calon bertanding sama ada peringkat cabang atau pusat.

“Ini suara yang saya ketengahkan. Apa yang penting bagi KEADILAN, kita kena akui kelemahan yang ada tetapi kemudiannya sedia untuk memperbaikinya.

“Politik baru bermakna pemimpin sedia untuk ditegur disamping boleh menegur. Sama juga dengan anggota parti boleh menegur dan sedia ditegur,” katanya.

Calon Timbalan Presiden PKR itu pada Selasa menyerahkan memorandum bagi mendesak JPP agar menghentikan pemilihan parti dalam tempoh 48 jam.

Pemilihan kepimpinan pusat PKR sedang berlangsung pada 28 Oktober lalu sehingga kini terdapat 162 aduan terhadap kepincangan yang akan menjejaskan integriti dan kredibiliti JPP.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain