suria

Mahkamah Persekutuan Tetapkan Garis Panduan Untuk Kebenaran Merayu

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan pada Jumat menetapkan garis panduan untuk kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan.

Sebuah Panel khas berkata litigan yang ingin merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan dalam kes sivil mesti mendapatkan kebenaran dari Mahkamah Persekutuan, dengan memenuhi syarat-syarat tertentu.

Penjelasan ini berikutan permintaan beberapa orang peguam kanan dari Majlis Peguam agar Mahkamah Persekutuan menyelesaikan ketidaksamaan dalam dua keputusan oleh panel Mahkamah Persekutuan tentang tafsiran peruntukan Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 (CJA) berhubung permohonan kebenaran.

Panel khas lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara Tun Zaki Azmi telah dibentuk bagi menjawab persoalan berhubung permohonan kebenaran oleh peguam-peguam kanan dalam kes Terengganu Forest Products Sdn Bhd lwn Cosco Container Lines Co.Ltd dan Chung Chiao Shipping Sdn Bhd dan lima kes lain.

Bersidang bersama Zaki ialah Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff, Hakim Besar Malaya Tan Sri Arifin Zakaria, Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum, dan Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin.

Pada 15 Okt, Zaki bila ditanya oleh media pada satu sidang akhbar, menolak pandangan beberapa orang peguam yang Mahkamah Persekutuan menafikan kebenaran untuk mereka merayu.

Zaki berkata ia bergantung pada merit. Pemohon mesti memenuhi syarat-syarat di bawah Seksyen 96 CJA untuk mahkamah memberi kebenaran.

Ketika membacakan keputusan 39-mukanya, Zaki berkata pemohon, sebelum memfail permohonan mesti mengambil kira pra-syarat berikut:

BAHAWA kebenaran untuk merayu mestilah terhadap keputusan Mahkamah Rayuan; BAHAWA sebab atau perkara itu mestilah telah diputuskan oleh Mahkamah Tinggi yang menjalankan bidang kuasa asalnya; BAHAWA persoalan itu mesti melibatkan persoalan undang-undang tentang prinsip umum yang tidak diputuskan sebelumnya oleh Mahkamah Persekutuan; dan

BAHAWA isu yang hendak dirayu telah diputuskan oleh Mahkamah Rayuan.

Mengikut peraturan, kebenaran lazimnya tidak diberikan dalam rayuan interlokutori.

Tetapi beliau menambah ia membantu kes bagi pemohon jika terdapat pandangan konsisten kehakiman yang mungkin salah secara seragam, dan jika terdapat keputusan yang bertentangan di Mahkamah Rayuan.

Zaki berkata, kebenaran untuk merayu terhadap tafsiran undang-undang tidak akan diberi kecuali terbukti bahawa tafsiran sedemikian adalah bagi kepentingan umum.

Beliau berkata mahkamah menerima prinsip dalam kes Datuk Syed Kechik bin Syed Mohamed lwn Lembaga Amanah Yayasan Sabah dalam meluluskan permohonan kebenaran.

Kes itu, antara lain, memutuskan bahawa bila keputusan Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Persekutuan menimbulkan sesuatu perkara undang-undang yang mempunyai kepentingan umum berdasarkan prinsip undang-undang yang secara seragamnya salah, maka kebenaran mesti diberikan.

Beliau menarik perhatian bahawa Mahkamah Tertinggi di New Zealand tidak akan memberi kebenaran untuk merayu kecuali ia puashati bahawa ini perlu demi kepentingan keadilan bagi mahkamah mendengar dan menentukan rayuan yang dicadangkan.

Dalam sistem perundangan Malaysia, kata Zaki, adalah amat jelas daripada ungkapan Seksyen 96(a) CJA bahawa perayu mesti memenuhi syarat seksyen itu untuk mahkamah memberi kebenaran. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain