suria

Lelaki Dan Tiga Saudara Disaman Kerana Didakwa Fitnah Menerusi Facebook

SHAH ALAM: Seorang wanita memfailkan saman terhadap Ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) Mahharul Ismail dan tiga anggota keluarganya kerana didakwa mengeluarkan kata-kata fitnah menerusi laman sosial Facebook.

Zalina Jaafar, 42, selaku plaintif memfailkan saman itu menerusi peguamnya Faizul Mohd Nasir di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat.

Selain Mahharul, dua adik perempuannya, Maisarah dan Norsyam serta anak saudara mereka, Wan Ikhwan Wan Azani, turut dinamakan sebagai defendan.

Zalina, yang menyatakan jawatannya sebagai pembantu seorang "ahli majlis" Parti Keadilan Rakyat (PKR), mendakwa Mahharul telah mengeluarkan kata-kata fitnah terhadapnya di laman sosial milik ahli majlis PKR itu pada 28 Sept lepas dan kenyataan di laman sosial milik Wan Ikhwan dikeluarkan pada 21 Sept lepas.

Beliau turut mendakwa Maisarah dan Norsyam dengan niat jahat telah mengeluarkan kata-kata fitnah yang menyentuh peribadinya secara palsu pada laman sosial milik Wan Ikhwan.

Zalina berkata pernyataan-pernyataan oleh kesemua defendan telah menyebabkan karakter dan reputasi berkaitan dirinya telah dicemari.

Beliau menuntut ganti rugi RM10 juta, ganti rugi teladan, kos dan faedah pada kadar lapan peratus setahun serta relif-relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Zalina, yang turut hadir di mahkamah, juga memohon perintah injunksi bagi menghalang semua defendan daripada terus mengeluarkan kata-kata fitnah yang serupa terhadap dirinya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain