suria

Jakim Akan Tubuh Unit Pensijilan Halal Di Setiap Negeri

MELAKA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada Khamis akan menubuhkan unit persijilan halal di setiap negeri dalam usaha memudah dan memperkemaskan persijilan halal di negara ini.

Ketua Pengarah Jakim Datuk Wan Mohamad Sheikh Abd Aziz berkata penubuhan unit itu telah mendapat perkenan daripada Majlis Raja-Raja pada 12 Okt lepas.

Antara objektif utama penubuhan unit persijilan halal itu ialah untuk menyeragamkan mekanisma persijilan halal di setiap negeri, katanya kepada pemberita selepas perasmian Persidangan Ketua-Ketua Jabatan/Majlis Agama Islam Seluruh Malaysia Ke-84 di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, hari ini.

Beliau berkata pada masa ini, permohonan sijil halal boleh dibuat terus secara online melalui laman web www.halal.gov.my. Wan Mohamad berkata sebuah institut untuk memantau persijilan halal akan dibina di Nilai, Negeri Sembilan.

"Institut bernilai RM27.5 juta itu mempunyai makmal yang boleh kesan bahan sama ada halal atau tidak. Sebelum ini kita bergantung kepada Jabatan Kimia untuk kesan," katanya.

Wan Mohamad berkata institut yang dijangka siap pada akhir 2013 itu bakal mempercepatkan proses persijilan halal serta memperkemas proses pemantauan status halal di negara ini.

Persidangan Ketua-Ketua Jabatan/Majlis Agama Islam Seluruh Malaysia itu dirasmikan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Melaka Datuk Ghazale Muhamad.

Seramai 60 ketua jabatan/majlis agama Islam negeri serta agensi berkaitan menghadiri persidangan tiga hari yang bermula semalam. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain