suria

Hak Zaid Tubuh Parti Baru - Mustaffa

PETALING JAYA: Datuk Zaid Ibrahim mempunyai hak untuk menubuhkan parti baru sekiranya beliau dikenakan tindakan pecat oleh pucuk pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR), kata Naib Presiden PKR, Mustaffa Kamil Ayub.

Beliau berkata, keputusan itu merupakan hak mana-mana individu untuk menubuhkan parti sekiranya mempunyai kelayakan dan memenuhi syarat penubuhan.

"Bagaimanapun, sebagai teman perjuangan dalam PKR, saya berharap dan menasihatkan agar beliau terus kekal dalam parti.

"Beliau seorang pemimpin yang tegas dan mempunyai prinsip. Saya percaya beliau mampu memberi sumbangan kepada perjuangan dalam PKR," katanya kepada mStar Online ketika ditemui di sini, Jumaat.

Mustaffa berkata, Zaid boleh membuat rayuan kepada Jawatankuasa Disiplin parti sekiranya beliau dikenakan tindakan dipecat.

“Saya yakin Zaid akan mempertimbangkan keputusan itu sedalam-dalamnya sebelum bertindak untuk menubuhkan parti baru,” katanya.

Ketika ditanya sekiranya Zaid menubuhkan parti baru, beliau tidak dapat menjangkakan secara khusus apa yang berlaku mengenai perkara itu.

“Cuma kita melihat politik di negara ini menjurus kepada dua sistem parti iaitu Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional (BN). Kalau berlaku keadaan demikian, terserah kepada beliau dalam konteks memilih pendekatan yang ada.

“Kewujudan parti baru boleh dilakukan oleh mana-mana pihak tetapi akhirnya akan menjurus kepada persaingan dua komponen parti utama iaitu Pakatan Rakyat dan BN," katanya.

Zaid pada Khamis tidak menolak kemungkinan untuk menubuhkan parti baru bagi meneruskan perjuangan jangka panjangnya dalam melakukan transformasi politik di negara ini.

Keputusan itu dibuat sekiranya dipecat daripada PKR.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain