suria

UMNO Kedah Mahu Kerajaan Negeri Tarik Kembali Larangan Media Buat Liputan Bajet

ALOR SETAR: Umno Negeri Kedah pada Khamis mahu kerajaan negeri menarik kembali larangan terhadap media tertentu daripada membuat liputan sepanjang persidangan Dewan Undangan Negeri mulai Ahad hingga Selasa ini.

Sekiranya larangan itu tidak ditarik balik, Anggota Dewan Undangan Negeri daripada Barisan Nasional (BN) akan membawa usul pada persidangan itu supaya semua media dibenarkan membuat liputan tanpa sebarang pengecualian.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Kedah Datuk Paduka Ahmad Bashah Md Hanipah berkata larangan berkenaan adalah satu tindakan yang menyekat kebebasan media untuk membuat laporan dan menunjukkan sikap permusuhan kerajaan negeri dengan media tertentu.

Katanya tidak pernah berlaku sebelum ini media dihalang daripada membuat laporan persidangan Dewan Undangan Negeri.

"Sekatan terhadap kebebasan media amat dikesalkan dan ia merupakan satu pencabulan PAS terhadap kebebasan media," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Ahmad Bashah yang juga ADUN Bakar Bata mengulas larangan kerajaan negeri terhadap TV3, TV9, NTV7, RTM, Astro Awani, Utusan Malaysia, Kosmo, Berita Harian, New Straits Times dan Harian Metro daripada membuat liputan sidang berkenaan atas alasan "putar belit dan berita biadap pihak media terhadap kerajaan negeri".

Beliau berkata persidangan Dewan Undangan Negeri selama tiga hari yang bermula Ahad ini amat penting kerana ia adalah sesi Bajet di mana wakil rakyat akan membincangkan tentang bajet tahun hadapan.

"Bagaimana rakyat hendak mendapat maklumat tentang perancangan kerajaan negeri pada tahun hadapan sekiranya media tidak dibenarkan membuat liputan," katanya.

Beliau berkata tindakan kerajaan negeri itu dilihat sebagai tindak balas terhadap media yang melaporkan kepincangan pengurusan bencana kerajaan negeri semasa banjir yang sedang melanda Kedah ini.

"Media hanya melaporkan apa yang berlaku, tidak perlu dikaitkan laporan media tentang banjir dan sidang Dewan Undangan Negeri. Kerajaan negeri kena bersikap profesional dalam mengendalikan aspek perhubungan awam mereka," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain