suria

Polis Percubaan Bebas Tiga Tuduhan Rasuah

SHAH ALAM: Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis, melepas dan membebaskan seorang anggota polis percubaan daripada tiga pertuduhan rasuah yang didakwa dilakukan dua tahun lalu.

Hakim Azhaniz Teh Azman Teh membuat keputusan itu terhadap Inspektor Hardy Charles, 26, selepas berpuas hati bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan prima facie untuk memanggilnya membela diri

Keputusan itu dibuat selepas Azhaniz mendengar keterangan 12 saksi pendakwaan.

Hardy yang bertugas di Ibu Pejabat Klang, dekat sini sebelum ini dibicarakan atas pertuduhan menyetuju terima rasuah bernilai RM3,000 daripada seorang ahli perniagaan A.T Salapathirao yang didakwa sebagai dorongan untuk melepaskan dua anaknya yang ditahan kerana mencuri baja.

Hardy didakwa bersetuju menerima suapan tersebut pada pukul 11 malam, 12 Disember 2008 yang didakwa sebagai dorongan membebaskan S. Munisvaran dan S. Thiban.

Beliau juga didakwa atas pertuduhan setuju terima RM1,000 sebagai dorongan melepaskan Thiban pada pukul 11.10 malam, hari yang sama.

Bagi pertuduhan terakhir, Hardy didakwa menerima RM2,000 pada pukul 7.55 petang, 6 Januari 2009 untuk melepaskan Munisvaran. Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Bahagian Jenayah Komersial, IPD Klang.

Sepanjang perbicaraan, Hardy diwakili peguam Azrul Zulkifli Stork manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azuan Adzhar.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain