suria

Nama Zaid Akan Dikeluarkan Dari Kertas Undi - JPP

PETALING JAYA: Nama Datuk Zaid Ibrahim akan dikeluarkan dari kertas undi calon timbalan presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) selepas Biro Politik parti menerima penarikan diri bekas Pengerusi Perhubungan Wilayah Persekutuan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP), Dr Molly Cheah berkata, pengurusan parti telah menerima penarikan Zaid.

"Bila sudah ada keputusan itu maka kita akan keluarkan nama beliau daripada kertas undi dalam proses pengundian.

"Itu keputusan Zaid untuk tarik diri. Kita terima dengan tindakan itu," katanya ketika dihubungi mStar Online, Khamis.

Bagaimanapun Molly berkata, beliau tidak pasti sama ada nama Zaid sudah dicetak pada kertas undi atau tidak.

"Itu saya kena dapatkan butiran lanjut. Jika belum, kertas undi itu akan dipastikan tidak lagi mencetak namanya," katanya.

Zaid dalam blognya awal pagi Isnin mengumumkan keputusannya untuk menarik diri daripada merebut jawatan timbalan presiden dan melepaslan semua jawatannya dalam parti itu.

Tindakan itu ekoran kekecewaannya terhadap penyelewengan dan penipuan yang berlaku dalam pemilihan parti yang sedang berlangsung.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain