PETALING JAYA: Masyarakat bukan Melayu telah membuktikan kesetiaan mereka dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan pasukan keselamatan lain berjuang mempertahankan kemerdekaan negara sehingga hari ini.Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sehubungan itu menafikan dakwaan beliau mempertikaikan kesetiaan dan integriti kaum bukan Melayu berhubung isu penyertaan dalam ATM. Menurutnya, beliau langsung tidak berniat berbuat demikian kerana sedar hakikat sumbangan kaum bukan Melayu dalam pasukan itu."Saya tidak pernah menyatakan begitu. Jauh sekali berniat atau bermaksud untuk berbuat demikian."Apa yang saya nyatakan, ia berkemungkinan disebabkan beberapa perkara yang antaranya adalah kerana semangat patriotisme belum cukup tinggi," katanya dalam satu kenyataan di sini.The Star dan Guang Ming Daily pada Rabu memetik kenyataan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek dan Ahli Parlimen DAP M. Kulasegaran yang menuduh Zahid mempertikaiksn kesetiaan dan integriti kaum bukan Melayu ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat.Kulasegaran yang mempertikaikan jawapan Zahid itu turut mendesak Zahid memohon maaf namun desakan itu dibuat selepas menteri itu keluar dari dewan.Dalam pada itu, Ahmad Zahid menambah, semasa menjawab beliau turut menyelitkan kemungkinan lain termasuk kekhuatiran terhadap disiplin yang ketat dalam ATM."Ia juga berkemungkinan kerana ganjaran yang kurang berbanding tawaran sektor swasta serta tiada galakkan keluarga dan kelompok etnik akibat pelbagai prasangka negatif," katanya.