suria

Kanak-Kanak Bersendirian Dalam Bas

KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun didapati bersendirian di dalam sebuah bas henti-henti yang dalam perjalanan dari Jalan Cheras ke Jalan Pekeliling di sini hari ini.

Kehadiran kanak-kanak itu di dalam bas disedari oleh seorang penumpang wanita berusia 40 tahun yang mengesyaki kanak-kanak itu tidak ditemani sesiapa setelah mendapati dia tidak turun di mana-mana tempat bas berhenti untuk menurun dan mengambil penumpang.

Wanita itu kemudiannya menghubungi polis untuk memaklumkan mengenai kanak-kanak itu sebelum menyerahkannya ke Balai Polis Tun H.S Lee tengah hari tadi.

Kanak-kanak itu kemudian diserahkan pula ke Balai Polis Cheras.

Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Supritendan Abdul Rahim Hamzah Othman memberitahu pemberita kanak-kanak tersebut yang memakai baju berwarna merah dipercayai menaiki bas itu dari Flat Seri Sabah, Cheras.

"Dia turut membawa botol susu bersama. Polis tidak menolak kemungkinan dia menaiki bas, ketika bas itu berhenti di hadapan flat terbabit untuk mengambil penumpang," katanya.

Polis kemudiannya menyerahkan kanak-kanak tersebut kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Jalan Pahang.

Pada pukul 5.30 petang tadi, sepasang suami isteri telah datang ke balai polis dan mendakwa kanak-kanak itu adalah anak mereka, katanya.

Abdul Rahim berkata, pasangan itu memaklumkan mereka menyedari kehilangan kanak-kanak itu selepas pasukan peronda polis membuat hebahan di kawasan flat berkenaan.

"Namun polis tidak boleh menyerahkan kanak-kanak itu kepada pasangan suami isteri terbabit kerana mereka gagal menunjukkan sebarang dokumen yang mengesahkan mereka ialah ibu bapa kepada kanak-kanak berkenaan.

"Ujian DNA juga akan dibuat jika perlu, bagi memastikan mereka ibu bapa sebenar kanak-kanak itu," katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut berhubung kanak-kanak itu diminta supaya menghubungi talian 03-21159999 atau Balai Polis Cheras di talian 03-92825022. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain