suria

KPT Rumus Rangka Tindakan Pembelajaran Sepanjang Hayat

KUALA LUMPUR: Kementerian Pengajian Tinggi telah merumuskan rangka tindakan bagi membudayakan Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) 2011-2020 selaras dengan usaha kerajaan bagi mencapai status ekonomi berpendapatan tinggi.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, rangka tindakan itu adalah berdasarkan kajian yang dijalankan mengenai keperluan modal insan yang cekap, berkemahiran dan berpengetahuan melalui inisiatif PSH.

"Antara strategi dalam rangka tindakan itu adalah bagi menyediakan sokongan kewangan yang mencukupi bagi menyemai PSH sebagai cara hidup dan meningkatkan mekanisme dan infrastruktur bagi memudahkan PSH dan berharap ia akan bertindak sebagai satu dasar dan panduan pelaksanaan inisiatif PSH bagi dekad akan datang," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan persidangan antarabangsa mengenai pembelajaran sepanjang hayat 2010 anjuran Universiti Utara Malaysia bersama Princess Naradhiwas University dan Rajamangala University of Technology Srivijaya, Thailand.

Persidangan tiga hari itu disertai lebih 100 peserta dari 20 negara termasuk Australia, India, Kanada, Sweden, Jepun, Oman dan New Zealand.

Mohamed Khaled berkata, kementerian juga merancang untuk mewujudkan sistem PSH yang mapan di negara ini sebagai agenda nasional selaras dengan Model Baru Ekonomi (MBE), Program Transformasi Ekonomi (ETP), Rancangan Malaysia Kesepuluh dan konsep 1Malaysia, dengan penekanan terhadap latihan berterusan dan memahirkan semula tenaga kerja bagi pekerjaan bernilai tinggi.

Beliau berkata, mulai tahun depan kementerian merancang beberapa inisiatif termasuk mengadakan pangkalan data yang menyenaraikan jenis kegiatan dan institusi yang menjalankan program PSH dalam usaha untuk memantau ststus terkini penyertaan masyarakat dalam program itu.

"Kementerian akan melancarkan kempen bersepadu bagi menggalakkan PSH dalam skala besar di peringkat kebangsaan membabitkan penyertaan institusi awam dan swasta, agensi kerajaan dan pihak industri," katanya.

Beliau berkata, satu sistem akan dibangunkan di setiap institusi itu dan melaporkan semua kegiatan berkaitan dengan PSH bagi memastikan ketelusan dan akauntabiliti di peringkat institusi.

"Kementerian juga meminta ahli akademik dan penyelidik untuk menjalankan lebih banyak penyelidikan bersama berhubung isu berkaitan pembelajaran sepanjang hayat.

"Hanya melalui penyelidikan mendalam dan konsisten, kita akan dapat memahami dan mampu mendemokrasikan pelajaran bagi rakyat Malaysia," katanya.

Katanya, kementerian akan menyokong usaha penyelidikan itu dengan memberikan geran yang diperlukan bagi cadangan penyelidikan yang dikemukakan institusi pendidikan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain