suria

Kerajaan Belum Cadang Mansuh Hukuman Mati - Nazri

KUALA LUMPUR: Kerajaan belum bercadang untuk memansuhkan hukuman mati kerana ia akan memberi impak besar kepada sistem perundangan negera, sidang Dewan Rakyat diberitahu pada Selasa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata pindaan yang sewajarnya juga perlu dibuat kepada undang-undang jenayah yang tertentu sekiranya hukuman mati mahu dimansuhkan.

Bagaimanapun katanya, kerajaan menyambut baik apa-apa cadangan yang diberikan oleh mana-mana pihak yang menyokong supaya hukuman mati dimansuhkan.

"Cadangan itu akan diberikan pertimbangan yang sewajarnya setelah kajian yang menyeluruh dan penelitian yang rapi dibuat dalam pelbagai aspek dan juga setelah mengambil kira pandangan daripada pelbagai pihak," katanya.

Beliau menjawab pertanyaan Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) sama ada kerajaan bersedia meminda kesemua undang-undang yang memperuntukkan hukuman mati dengan alternatif hukuman penjara seumur hidup selaras dengan keadaan di India di mana hukuman mati adalah dirizabkan hanya untuk kes-kes yang jarang berlaku.

Kepada soalan Datuk Marcus Mojigoh (BN-Putatan), Mohamed Nazri berkata kerajaan juga tidak bercadang untuk mengenakan hukuman mati terhadap perogol.

"Sepatutnya Malaysia harus mengikuti trend dunia untuk mengurangkan jenayah yang mensabitkan hukuman mati.

"Kalau rogol dikenakan hukuman mati bermakna kita menambah (hukuman mati), maka kerajaan tidak mencadangkan untuk melaksanakan hukuman mati kepada perogol," katanya.

Beliau menjelaskan kerangka perundangan negara yang mengekalkan hukuman mati hanya dalam kes jenayah serius dan berat adalah selaras dengan prinsip undang-undang hak asasi antarabangsa.

"Pelaksanaan hukuman mati mandatori di negara ini tertakluk kepada perlindungan tertentu seperti diperuntukkan oleh undang-undang, contohnya perlindungan daripada undang-undang jenayah kuat kuasa ke belakang dan perbicaraan berulang dalam Perkara Tujuh Perlembagaan Persekutuan.

"Hak untuk merayu kepada mahkamah lebih tinggi dan permohonan pengampunan kepada Lembaga Pengampunan juga adalah dijamin oleh undang-undang," katanya.

Mohamed Nazri berkata hukuman mati di negara ini juga tidak dilaksanakan terhadap wanita mengandung, individu hilang akal dan individu yang berusia di bawah 18 tahuun semasa perlakuan jenayah itu, sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 [Akta 611].

Katanya kerajaan juga melalui agensi-agensi yang berkenaan seperti Jabatan Peguam Negara sedang meneliti kewajaran untuk meminda Peraturan-Peraturan Perlu (Kes-kes Keselamatan) 1975 bagi tujuan menyelaraskannya dengan Akta 611 serta obligasi antarabangsa Malaysia sebagai negara pihak kepada Konvensyen Hak Kanak-Kanak.

Kepada satu lagi soalan Karpal, sama ada kerajaan bercadang untuk mengembalikan semula sistem juri yang dilihatnya sebagai sistem yang baik bagi menentukan tiada kesilapan dilakukan oleh hakim, Mohamed Nazri berkata ia boleh dibincangkan kembali sekiranya kerajaan terus mempertahankan supaya hukuman itu dilaksanakan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain