suria

Bom Mortar Ditemui Di Tempat Pelupusan Sampah Tumpat

TUMPAT: Seorang pekerja mengutip barang-barang terbuang di kawasan pelupusan sampah Majlis Daerah Tumpat (MDT) di sini, menemui empat biji bom mortar dipercayai milik angkatan tentera di dalam sebuah guni plastik yang dibuang di kawasan itu pada Rabu.

Ketua Daerah Polis Tumpat, Supt Khalid Munap berkata bom mortar itu sepanjang 0.3 meter ditemui oleh Mohd Firdaus Sabri, 19, kira-kira pukul 10 pagi dari guni yang baru dibuang oleh sebuah lori sampah ke kawasan itu.

"Sebaik guni itu tercampak keluar dari lori, lelaki itu terus mendekati dan bila membuka sebuah guni, terkeluar empat biji bom yang masih aktif," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian di sini, Rabu.

Beliau berkata, bom dipercayai milik tentera itu kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Daerah Polis Tumpat oleh unit bom polis Kelantan sebelum diletup kira-kira pukul 1.45 petang di kawasan pelupusan sampah itu.

Mohd Firdaus yang ditemui di tempat kejadian berkata, telah memaklumkan penemuan itu kepada rakannya sebelum menghubungi polis kerana mengesyaki besi buruk sepanjang 0.3 meter itu adalah bom.

"Saya tidak biasa dengan bom tetapi apabila diberitahu rakan, baru saya sedar besi buruk itu adalah bom," katanya.

Beliau gembira kerana tidak berlaku sebarang perkara tidak dingini dan menganggap sejarah kepadanya yang julung-julung kali melihat senjata merbahaya seperti itu.

Terdapat kira-kira 20 orang bekerja sebagai pencari barang-barang buangan di kawasan itu dan penemuan bom seumpama itu adalah pertama kali berlaku di kawasan itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain