suria

Bayi Lelaki Dijaga Pengasuh Meninggal Dunia

KUALA LUMPUR: Bayi lelaki berusia tujuh bulan mati dalam perjalanan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) hari ini setelah didapati tidak sedarkan diri di rumah pengasuhnya di Taman Melati di sini.

Bayi itu, Yusuf Razzin Mohd Yusri dibawa ke hospital oleh ibu bapanya setelah dimaklumkan mengenai keadaannya oleh pengasuhnya.

Ketika tiba di wad kecemasan HKL, difahamkan kanak-kanak itu sudah tidak bernafas dan badannya menjadi kebiruan.

Kematian bayi itu menimbulkan keraguan dan sehubungan itu satu laporan polis dibuat oleh pihak HKL kira-kira 3 petang tadi di pondok polis hospital tersebut.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi hari ini bagaimanapun tidak dapat mengesahkan sama ada kematian itu mempunyai kaitan dengan unsur jenayah.

"Buat masa ini, polis mengklasifikasikan kes terbabit sebagai mati mengejut," katanya sambil menambah siasatan tetap dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kematian bayi itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain